AM

Selaras Prosedur Kerajaan Untuk Mudahkan Peniaga - Sim

20/12/2025 04:07 PM

PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) -- Proses dan prosedur kerajaan pada semua peringkat perlu dipermudah dan diselaraskan supaya peniaga di negara ini dapat beroperasi tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang pelbagai, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Merujuk kepada isu hiasan perayaan agama selain Islam, Sim berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan telah memberikan penjelasan mengenainya dan ia wajar dihormati serta dijadikan panduan bersama supaya pelaksanaan di lapangan adalah konsisten dan tidak mengelirukan.

“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri, wilayah termasuk sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia.

“Ini sebahagian strategi ABCD, merangkumi Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudah, Capaian modal dan Daya akses pasaran yang dilaksana kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zulkifli menyatakan tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, namun ia perlu tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tidak menjejaskan prinsip “halalan thoyyiban”.

Dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal, turut dibenarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan dan dekorasi serta hiasan premis juga tidak melibatkan paparan SPHM serta imej Logo Halal SPHM.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504821