AM

Pegawai SPRM Perak Terima Tauliah Khas Jabatan Mufti Perak

19/12/2025 06:13 PM

IPOH, 19 Dis (Bernama)  – Seramai 14 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah menerima pentauliahan khas profesional iaitu kebenaran menyampaikan kuliah profesional di masjid dan surau oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program pentauliahan itu yang dikenali sebagai Perakuan Profesional Masjid (PPM) diberikan selepas pegawai terbabit berjaya melepasi proses saringan dan penilaian oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Negeri Perak.

Majlis pentauliahan itu telah diadakan dalam program Muqabalah Mahabbah dan Majlis Penyampaian Sijil Kebenaran Menyampaikan Kuliah Profesional Negeri Perak Siri 2 Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Perak, Dato' Zamri Hashim di Kompleks Islam Negeri Perak di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Pengarah SPRM Perak, Dato' Ahmad Sabri Mohamed mendahului senarai penerima pentauliahan diikuti oleh Timbalan Pengarah Operasi dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak serta pegawai-pegawai kanan SPRM Perak lain. 

Selain pegawai SPRM, turut menerima sijil pentauliahan dalam majlis itu ialah 60 pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tabung Haji, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Perak, As Salihin Trustee Cawangan Perak, Mutawwif, Motivasi dan Dakwah dan ahli Bahasa Arab.

Program ini yang memberikan pengiktirafan kepada golongan professional dan penjawat awam untuk menyampaikan kuliah dalam bidang profesional masing-masing diharapkan membantu jemaah masjid memperoleh kefahaman praktikal berkaitan isu kehidupan sejajar dengan nilai Islam serta meningkatkan kesedaran awal terhadap isu kesihatan, keluarga, harta dan sosial dengan bidang profesional.

Prinsip asas sijil pentaulihan khas professional adalah masjid sebagai ruang amanah, bukan pentas mempromosi diri atau perniagaan, untuk menerang dan mendidik bukan memberikan hukum syarak serta  kandungan mestilah bersifat umum, mencegah dan mendidik.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504575