GAYA HIDUP

Kitaran Haid Tidak Teratur, PCOS Boleh Jadi Pembunuh Senyap Wanita

19/12/2025 02:01 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Ramai wanita menganggap haid tidak teratur sebagai perkara biasa, namun keadaan itu sebenarnya mungkin menandakan gangguan hormon yang serius dan memberi kesan kesihatan jangka panjang jika diabaikan.

Pakar Sakit Puan dan Reproduktif Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Prof Madya Dr Muhammad Azrai Abu berkata antara gangguan hormon yang mungkin berlaku ialah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) yang jika diabaikan dalam jangka panjang berisiko menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser rahim. 

Selain itu, gangguan hormon juga berisiko menyebabkan pertumbuhan bulu badan berlebihan dan telur dalam ovari tidak matang sepenuhnya.

“Banyak wanita hanya sedar apabila datang untuk rawatan kesuburan. PCOS bukan hanya menjadi cabaran perancangan hamil tetapi juga boleh meningkatkan risiko kanser rahim, diabetes, tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung. 

“Apabila ovulasi tidak berlaku, hormon estrogen akan terus merangsang lapisan rahim. Jika berlarutan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kanser rahim. Inilah yang menjadikan PCOS sebagai ‘time bomb’ atau pembunuh senyap,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Hari Bersama Media HCTM baru-baru ini. 

pic-2

Beliau berkata risiko PCOS bukan hanya terhad kepada wanita yang merancang kehamilan, malah turut menjejaskan wanita yang tidak berniat untuk mengandung.

“Berbeza dengan haid yang tidak datang, tanda-tanda seperti bulu berlebihan atau jerawat kadangkala sukar dinilai oleh pesakit sendiri.

“Oleh sebab itu ramai hanya tampil mendapatkan rawatan apabila mahu hamil atau apabila komplikasi sudah berlaku,” katanya.

Dr Muhammad Azrai berkata PCOS boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk remaja seawal usia belasan tahun, dan masalah itu kian ketara dalam kalangan generasi muda akibat gaya hidup tidak sihat, kurang aktiviti fizikal serta pemakanan berlebihan.

Walaupun PCOS boleh dikawal, dan dalam sesetengah kes boleh ‘dipulihkan’ melalui perubahan gaya hidup seperti penurunan berat badan dan senaman, beliau mengingatkan keadaan itu boleh berulang sekiranya pesakit kembali kepada tabiat lama.

“PCOS bukan penyakit yang sembuh sekali rawat. Ia memerlukan pemantauan berkala dan disiplin gaya hidup jangka panjang. Ramai pesakit sangka mereka sudah ‘baik’, sedangkan hormon boleh kembali tidak stabil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur agar segera mendapatkan pemeriksaan doktor bagi diagnosis dan rawatan awal sebelum komplikasi serius berlaku tanpa disedari.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504441