KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman tidak melantik Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai entiti rasmi untuk membantu program bantuan pemulangan wang kepada mangsa penipuan.
Pengarah JSJK Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya telah mengesan penularan satu dokumen digital bertajuk "surat pelantikan" yang dipercayai direka dan diedarkan, kononnya ditandatangani oleh beliau bagi tujuan penipuan.
"JSJK menafikan pernah mengeluarkan dokumen tersebut, untuk makluman, program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan tidak wujud dan sebarang dakwaan mengenainya adalah palsu serta mengelirukan orang ramai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rusdi berkata proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukanlah satu bentuk program bantuan, sebaliknya merupakan komitmen dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, hasil siasatan serta keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai, menyebarkan atau berurusan dengan mana-mana pihak yang menawarkan bantuan pemulangan wang atau meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri dengan menggunakan nama PDRM, JSJK atau mana-mana agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi.
"Masyarakat juga disarankan supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi PDRM atau balai polis berhampiran serta segera melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA