AM

Peruntukan RM2 Juta Kepada MPHTJ Laksana Penyediaan Kajian Rancangan Tempatan

19/12/2025 11:09 AM

MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi penyediaan kajian rancangan tempatan pihak berkuasa untuk memastikan pembangunan bandar ini dipacu dengan lebih mampan, berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata peruntukan itu disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 2025.

Beliau berkata dokumen perancangan strategik itu menjadi rujukan utama pembangunan MPHTJ untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang dalam membentuk pembangunan bandar yang tersusun, seimbang dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Kali terakhir MPHTJ melaksanakan kajian rancangan tempatan ialah 20 tahun lepas dan kajian semula rancangan tempatan ini penting disediakan sebagai penggantian kepada rancangan sedia ada.

“Ia mengambil kira perubahan landskap pembangunan, pertumbuhan penduduk, keperluan infrastruktur, isu alam sekitar serta potensi ekonomi setempat agar setiap keputusan pembangunan dibuat lebih bersedia,” katanya.

Rais berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 (Penggantian) di sini semalam, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Saidin Lateh dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Rais berkata dalam konteks perancangan lebih menyeluruh, draf rancangan tempatan itu mengenal pasti kekuatan dan potensi kawasan MPHTJ bermula daripada laporan analisis dan strategi pembangunan sehingga laporan akhir yang komprehensif.

Hasil laporan itu, sebanyak enam teras pembangunan, 33 strategi, 77 subjek serta 281 komponen dirangka merangkumi aspek sumber alam semula jadi, ekonomi tempatan serta tahap ketersediaan kemudahan dan fasiliti bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan berdaya tahan.

“Lebih penting, draf ini turut menggariskan 42 projek quick-win yang berjaya dilaksanakan dalam jangka pendek dan kadar segera untuk memberi manfaat langsung kepada penduduk serta mewujudkan impak awal yang ketara terhadap landskap perancangan serta pembangunan di kawasan MPHTJ,” katanya.

Selain itu, Rais berkata sebanyak 38 cadangan strategik, 116 cadangan utama dan 48 projek sokongan turut dikenal pasti sebagai projek peneraju pertumbuhan yang dibangunkan berasaskan kekuatan aset tempatan sedia ada, diperkasakan melalui penambahan nilai, integrasi aktiviti secara berkelompok atau kluster serta disokong pembangunan kemudahan dan infrastruktur yang kukuh dan bersepadu.

Rais berkata sesi publisiti dan penyertaan awam bagi draf rancangan tempatan itu dibuka kepada orang awam dari 4 hingga 31 Dis ini untuk mereka meneliti, memahami dan mengemukakan pandangan serta bantahan terhadap kandungan dokumen itu.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata jumlah penduduk merupakan cabaran utama untuk menaik taraf MPHTJ sebagai bandar raya kerana jumlahnya ialah 200,000 orang setakat ini tidak menepati syarat, iaitu kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mempunyai 500,000 penduduk.

“Walaupun jumlah penduduk kawasan MPHTJ tidak mencapai syarat namun kutipan hasil PBT itu merupakan kedua tertinggi selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Justeru kerajaan negeri memohon pertimbangan untuk dilonggarkan syarat berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504381