GAYA HIDUP

Kraf Warisan Orang Asli Bantu Jana Pendapatan, Tembusi Pasaran Antarabangsa

18/12/2025 03:32 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Bermula daripada minat terhadap kraf tangan warisan Orang Asli, Hanim Apeng atau lebih dikenali sebagai Mak Intan, kini boleh berbangga dengan Asli Mak Intan Enterprise yang mampu menembusi pasaran antarabangsa. 

Mak Intan, 54, daripada suku kaum Jakun-Jahut berkata Asli Mak Intan Enterprise menghimpunkan dan memasarkan kraf komuniti Orang Asli di Semenanjung yang diwarisi turun-temurun sekali gus membantu menjana pendapatan.

“Sebagai wakil kepada 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung, saya merasakan menjadi tanggungjawab untuk mengetengahkan kraf tangan ini kepada masyarakat luar,” katanya ketika ditemui Bernama bersempena dengan Festival Irama Asli & Asal 2025, di sini baru-baru ini.

pic-2

Beliau berkata minatnya terhadap bidang kraf bermula sejak kecil, apabila sering mengikut ibu bapanya ke hutan untuk mencari kayu dan bahan anyaman sebelum kemahiran itu kemudian diasah melalui penyertaan dalam pelbagai kelas dan bengkel.

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang menjalankan perniagaan dan sangat mementingkan pendidikan. Ibu bapa sentiasa menggalakkan kami untuk menuntut ilmu,” katanya.

Mak Intan berkata pengalaman melihat kegigihan ibunya dalam menjana pendapatan melalui pelbagai perniagaan menjadi inspirasi utama yang membentuk minat dan ketekunannya dalam dunia keusahawanan.

pic-3

Kini, Asli Mak Intan Enterprise menghasilkan pelbagai produk antaranya tikar anyaman, replika sumpit dan rumah kampung, sabun buatan tangan, snek serta barangan kitar semula kreatif sebagai pelengkap kepada kraf tradisional selain menghasilkan aksesori seperti tanjak (tempok), gelang dan rantai kunci dengan harga bermula RM12 ke atas.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata sebahagian besar produk yang dipamerkan merupakan hasil kerjanya sendiri, manakala selebihnya diperoleh daripada pengusaha Orang Asli lain melalui pembelian terus sebelum dipasarkan.

“Apabila hasil kraf tangan mereka diterima dan dihargai pembeli, ia memberi keyakinan kepada pengusaha kecil ini untuk terus berusaha,” katanya.

pic-4

Mak Intan berkata sokongan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia telah membantu memperluas pasaran produk tersebut ke peringkat antarabangsa seperti Indonesia, Australia, London (United Kingdom) dan Jerman menerusi program World Trade Market.

Beliau berkata fokusnya kini lebih tertumpu pada melatih dan membimbing individu baharu untuk menjadi usahawan, termasuk mengajar komuniti Orang Asli asas perniagaan serta memperkemas persembahan produk agar lebih menarik. 

"Kira-kira 30 usahawan Orang Asli di Semenanjung telah dikenal pasti, dengan sebahagian daripada mereka kini bergerak seiring membangunkan kraf tangan komuniti masing-masing," katanya.

pic-5

Bekas pekerja Telekom Malaysia itu menekankan bahawa masyarakat Orang Asli perlu berani keluar dari zon selesa dan memanfaatkan peluang yang ada untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Kalau kita masih ada mentaliti menunggu dan melihat, kita takkan berjaya. Untuk berjaya, kita kena bersama-sama dengan orang luar dan buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan sebagai faktor utama bagi memastikan masyarakat Orang Asli mempunyai keyakinan serta suara yang didengari dalam arus pembangunan.

“Kalau tak ada pendidikan yang cukup, orang tidak akan dengar suara kita. Kalau ada pendidikan yang secukupnya, insya-Allah satu hari nanti Orang Asli akan berjaya dan masa itulah suara mereka didengari,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504136