JENAYAH & MAHKAMAH

Penganggur Didakwa Bunuh Isteri

18/12/2025 11:44 AM

BUKIT MERTAJAM, 18 Dis (Bernama) -- Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Seberang Jaya, awal bulan ini.

Khairul Rizuan Abdullah, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Khairul Rizuan didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak, 44, di sebuah rumah di Flat Tuna, Seberang Jaya pada 4 petang, 8 Dis.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli tidak menawarkan jaminan memandangkan ia kesalahan tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 10 Feb untuk laporan bedah siasat dan kimia.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504037