AM

Ahmad Martadha Dilantik Naib Canselor Baharu UUM

17/12/2025 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor UUM ke-11, berkuat kuasa semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan Ahmad Martadha, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat (AS).

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Indiana State University, AS sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama daripada Southern Illinois University.

Menurut KPT, Ahmad Martadha berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus universiti serta pernah dilantik ke beberapa jawatan strategik di UUM termasuk sebagai Dekan Pembangunan Pelajar dari 2005 hingga 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) dan Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti, Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM antara 2005 hingga 2013.

“Kepakaran beliau dalam bidang pentadbiran awam serta pengalaman menerajui institusi di pelbagai peringkat mampu menerajui UUM dan memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh budaya pemindahan ilmu serta merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa bakti beliau menerajui UUM sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503941