Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Penggiat industri minyak sawit Malaysia menarik nafas lega apabila dikecualikan daripada tarif import sebanyak 19 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), pada masa yang sama mengekalkan momentum yang stabil pada tahun ini walaupun terjejas oleh permintaan luar yang rendah dan paras inventori yang tinggi.
Minyak sawit mentah (MSM) diniagakan pada RM4,089.50 satu tan pada November 2025, merosot daripada RM5,011.50 pada November 2024, tetapi harga diunjurkan tinggi pada awal tahun depan kepada kira-kira RM4,500. Sehingga 10 Disember lepas, MSM diniagakan pada RM4,000 satu tan.
Eksport mendatar pada tahun ini. Jumlahnya sebanyak 22.55 juta tan dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2025 dengan nilai RM103.01 bilion berbanding 26.66 juta tan dengan nilai RM109.39 bilion pada 2024.
Sebagai eksport komoditi terbesar negara, minyak sawit kekal sebagai teras utama sektor ini, dengan hasil tandan buah segar (FFB) untuk sektor estet naik kepada 14.45 tan sehektar dalam tempoh Januari-Oktober 2025, meningkat daripada 13.96 tan sehektar dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Tahun ini menyaksikan pengeluaran yang lebih kukuh diimbangi oleh permintaan luar yang rendah, simpanan stok yang tinggi dan tekanan kemampanan yang meningkat di pasaran utama terutamanya China, apabila pembeli beralih kepada alternatif yang lebih murah seperti minyak kacang soya.
Permintaan yang rendah menyumbang kepada peningkatan inventori domestik, yang melonjak kepada lebih 2.7 juta tan -- paras tertinggi dalam tempoh lebih enam tahun.
Harga yang lebih tinggi menyebabkan penghantaran minyak sawit ke pasaran utama terutamanya China, merosot dengan ketara hampir 30 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini apabila pembeli beralih kepada alternatif yang lebih murah seperti minyak kacang soya.
Ketidakseimbangan antara pengeluaran yang tinggi dan pembelian luar negara yang lembap terus memberi tekanan kepada harga MSM, sekali gus mengehadkan potensi kenaikan walaupun asas pasaran menyokong pada separuh pertama tahun ini.
ART Menyelamatkan Komoditi Daripada Ketidaktentuan Tarif
Sektor komoditi Malaysia menghadapi tahun 2025 yang tidak menentu berikutan pengumuman tarif AS yang berubah-ubah mewujudkan ketidaktentuan yang berterusan, bermula daripada tarif sebanyak 24 peratus yang diumumkan pada 9 April kepada laporan mengenai kadar tarif sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos.
Titik perubahan berlaku pada 26 Oktober dengan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu mengecualikan 1,711 barisan tarif, termasuk eksport komoditi utama seperti minyak sawit daripada tarif sebanyak 19 peratus, meliputi eksport kira-kira US$5.2 bilion (RM22 bilion) dan memberikan kelegaan yang amat diperlukan selepas beberapa bulan tidak menentu.
Penangguhan EUDR, Pengiktirafan MSPO Satu Lagi Perkembangan Positif Untuk Malaysia
Selain perdagangan, sektor komoditi menikmati akses pasaran yang lebih luas dan kedudukan pada peringkat global yang lebih baik pada 2025 susulan perkembangan positif berkaitan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan pengiktirafan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Pada 26 November, Parlimen Eropah meluluskan penangguhan EUDR selama setahun. Langkah ini memberikan tempoh kepada pengendali yang besar sehingga 30 Dis 2026 dan perusahaan kecil sehingga 30 Jun 2027 untuk mematuhi peraturan tersebut, memberikan lebih masa untuk peralihan yang lebih lancar dan menaik taraf sistem usaha wajar digital EU.
Pengiktirafan rasmi EU terhadap MSPO pada 10 September sebagai pensijilan kemampanan yang berwibawa mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia.
Ini mengurangkan halangan pematuhan bagi pengeksport Malaysia, menyokong aliran perdagangan yang lebih lancar dan mengukuhkan kepimpinan negara dalam pengeluaran minyak sawit mampan.
Peruntukan Belanjawan 2026 Lebih Tinggi dan Prospek Tahun Depan
Terdapat berita baik untuk pekebun kecil dalam Belanjawan 2026 apabila kerajaan memberikan peruntukan untuk memodenkan perniagaan pertanian dan membantu pekebun kecil.
Peruntukan hampir RM2.4 bilion telah diumumkan untuk melindungi lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga mereka di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan bagi menyokong syarikat pemula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat utama sawit untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan,
Mengenai masa depan, sektor minyak sawit dijangka terus menunjukkan potensi yang kukuh walaupun dalam landskap yang amat kompetitif, dengan industri utama mencatatkan peningkatan eksport dan momentum yang positif.
Peningkatan semula harga minyak kacang soya akan merapatkan jurang harga yang besar antara kedua-dua minyak tersebut berikutan harga minyak kacang soya yang meningkat akan mengukuhkan sektor tersebut.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga MSM berpotensi meningkat kepada RM4,500 satu tan pada 2026, didorong oleh permintaan import yang stabil menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan manakala ketidaktentuan dasar Indonesia terus memberikan sokongan kepada harga minyak sawit.
-- BERNAMA