AM

‘Two Lives Remembered’ Cerminan Kekuatan Malaysia Dalam Kepelbagaian - Sultan Nazrin

16/12/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan melancarkan buku bertajuk Two Lives Remembered, A Family Memoir, karya Datuk Dr Mahmood Merican dan Datin Ragayah Eusoff, serta menyifatkan karya itu sebagai cerminan kekukuhan Malaysia.

Sultan Nazrin bertitah memoir karya Dr Mahmood, alumni terkemuka Universiti Malaya (UM) dan Ragayah itu, menampilkan kekayaan kepelbagaian suara, kisah dan pengalaman, sekali gus mencerminkan sejarah Malaysia sebagai sebuah negara yang dibentuk oleh kepelbagaian, percampuran budaya serta nilai bersama.

Baginda yang juga Canselor UM bertitah buku itu menekankan kepentingan percampuran budaya yang menyuburkan individu untuk menjalani kehidupan bermakna serta memberikan sumbangan signifikan kepada masyarakat, melalui perkhidmatan cemerlang dalam bidang perubatan dan selainnya. 

“Buku itu ibarat bukti kepada kesuburan hasil daripada percampuran sedemikian. Pelbagai pencapaian itu memperlihatkan kemantapan dan kekayaan falsafah mereka,” titah baginda dalam ucapan pada majlis itu.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

-- LAGI

 

SULTAN NAZRIN-MEMOIR 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Zarinah Anwar, Naib Canselor UM Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman serta ahli keluarga dan rakan penulis.

Sultan Nazrin menzahirkan bahawa satu lagi iktibar penting daripada memoir itu ialah nilai perkhidmatan awam yang diperlihatkan oleh keluarga Merican-Eusoff menerusi inisiatif seperti yayasan yang menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Baginda bertitah didorong oleh pegangan Islam, keluarga itu mendedikasikan usaha mereka untuk menyokong komuniti di seluruh Malaysia dari Pulau Pinang dan Perak sehingga ke Kelantan, Melaka dan seterusnya.

“Dengan menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk semua, yayasan mereka akan memastikan tiada sesiapa terhalang disebabkan masalah kesihatan atau kekurangan akses kepada pendidikan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah buku itu turut memaparkan masa lampau Malaysia dengan amat jelas di samping menggambarkan perkembangan pesat masa kini dan masa hadapan sambil menekankan peranan keluarga dalam membentuk nilai negara serta memupuk semangat untuk berkhidmat.

Two Lives Remembered, A Family Memoir mengisahkan perjalanan hidup dan pencapaian Dr Mahmood dan isterinya bersama anak-anak, cucu-cicit serta keluarga besar mereka, sekali gus menawarkan pembaca tentang sejarah peribadi, kejayaan profesional dan sumbangan kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

TAG: buku, pelancaran, Sultan Nazrin Shah, Mahmood Merican, budaya

 

 


UKH SS3 AYU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503535