AM

Kebersihan: Kerajaan Negeri Junjung Kasih Titah Sultan Selangor, Langkah Segera Diambil

16/12/2025 05:07 PM

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan teguran terhadap tahap kebersihan dan pengurusan sampah di beberapa kawasan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata teguran itu merupakan peringatan yang amat berharga kepada kerajaan negeri dan PBT agar isu kebersihan tidak dipandang ringan kerana ia memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat, imej bandar, kesihatan awam serta reputasi negeri. 

Beliau berkata beberapa langkah jangka pendek diperkukuh segera seperti pemetaan dan pemantauan kawasan hotspot sampah secara menyeluruh dan penambahan frekuensi kutipan di kawasan berkepadatan dan trafik tinggi selain memperkukuh penyelarasan kutipan sampah pukal, penyeliaan lapangan serta penyediaan pasukan respons pantas bagi menangani isu luar jangka.

“Kerajaan negeri juga telah mengarahkan supaya setiap hotspot sampah mempunyai pihak bertanggungjawab yang jelas, dipantau secara berterusan dan diambil tindakan susulan sekiranya berlaku pengulangan masalah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ng berkata kerajaan negeri juga sedang memuktamadkan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh khususnya berkaitan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Selangor.

Beliau berkata perancangan itu melibatkan pembangunan loji tenaga daripada sisa (WTE) yang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk projek WTE di Jeram, Kuala Selangor yang dijangka beroperasi awal 2026 serta projek WTE di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat yang disasarkan siap Dis 2027. 

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha peralihan ke arah sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan bersepadu, selari dengan pelaksanaan Akta 672," katanya.

Ng berkata sementara menunggu pemuktamadan dan penandatanganan pelaksanaan Akta 672 oleh kerajaan negeri, semua PBT diarahkan untuk mengoptimumkan kuasa, sumber dan keupayaan sedia ada bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa terpelihara dan tidak menjejaskan kehidupan rakyat. 

Beliau dalam kenyataan sama turut memberi jaminan segala teguran Sultan Sharafuddin akan dijadikan sebagai asas penambahbaikan berterusan oleh kerajaan negeri selain akan mempergiatkan usaha dalam memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang bersih berdaya huni dan membanggakan. 

Ng berkata kerjasama semua pihak termasuk PBT, agensi teknikal, premis perniagaan dan masyarakat setempat dituntut dalam menjayakan hasrat berkenaan. 

Sultan Sharafuddin dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini bertitah perancangan segera perlu dilakukan untuk membersihkan negeri Selangor dengan banyak aduan mengenai keadaan kotor diterima baginda.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503354