ALOR SETAR, 16 Dis (Bernama) -- Pasukan Bomba Sukarela (PBS) diharap terus menjadi sokongan terbaik kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), khususnya melibatkan insiden seperti kebakaran dan banjir.
Timbalan Pengarah JBPM Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba Abdul Fathulmuen Abdul Salam berkata di Kedah, sebanyak 47 PBS memainkan peranan sangat penting sebagai antara responden pertama di lokasi sementara menunggu ketibaan pegawai dan anggota JBPM.
“Sebanyak 960 anggota PBS di Kedah merupakan barisan sokongan kepada jabatan apabila diperlukan dan memang sangat membantu. Mereka dilatih di bawah jagaan balai-balai bomba di negeri ini bagi memastikan PBS itu mencapai tahap terbaik.
“PBS di Kedah sangat aktif dan sering menyertai misi luar antaranya membantu situasi banjir di Kelantan, Johor dan Sarawak dan paling membanggakan apabila PBS Sungai Petani telah mengetuai misi menyelamat rakyat Malaysia yang terperangkap banjir besar di Hat Yai, Thailand baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan geran tahunan, sijil kecemerlangan serta beberapa peralatan kepada PBS pada Majlis Kecemerlangan PBS di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Fathulmuen berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga sekiranya gelombang ketiga banjir melanda Kedah, selain bersedia membantu negeri lain yang terjejas akibat bencana itu jika diarahkan pihak atasan.
“Sejak awal lagi memang kami bersedia … kalau hujan beberapa jam memang akan berlaku banjir kilat yang biasanya disebabkan oleh parit tersumbat, jadi kita harap semua agensi terlibat dapat bekerjasama untuk memastikan isu ini dapat diatasi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua PBS Sungai Petani Leong Beng Tat yang menerima Sijil Adiwira PBS Misi Monsun Timur Laut (MTL) Hat Yai 2025 berkata penghargaan itu sangat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk pasukannya terus berkhidmat dan membantu pihak memerlukan.
“Banyak pengalaman suka duka sepanjang misi di Hat Yai, antaranya sedih melihat bayi kehabisan bekalan susu tepung serta warga emas yang memerlukan bantuan ubat-ubatan. Tetapi, kami juga terkilan apabila ada yang buat laporan palsu melibatkan kematian, hanya kerana mahu kami selamatkan mereka.
“Kami juga sentiasa bersedia jika khidmat diperlukan untuk membantu mana-mana negeri atau negara yang berdepan dengan bencana. Sekarang pun, ramai yang hubungi saya melalui laman media sosial memaklumkan mereka berminat untuk menjadi sukarelawan bomba dan perkara ini sangat bagus,” katanya.
-- BERNAMA