GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Spring Airlines akan memulakan penerbangan harian antara Shanghai dan Pulau Pinang bermula 30 Jan 2026 sekali gus mengukuhkan lagi kesalinghubungan udara di antara China dan Malaysia.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata perkhidmatan baharu itu akan beroperasi antara Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Ini sekali gus menjadikan Spring Airlines sebagai syarikat penerbangan ketiga yang mengendalikan laluan itu selepas Juneyao Airlines dan Shanghai Airlines.
“Spring Airlines akan mengendalikan penerbangan bernombor 9C7295/7250. Perkhidmatan ini akan bermula pada 30 Jan 2026 dan beroperasi setiap hari.
“Pesawat tiba di Pulau Pinang pada 2.30 petang waktu tempatan dan berlepas semula ke Shanghai pada 3.30 petang, menggunakan Airbus A320 bagi menyediakan perkhidmatan yang lancar.
“Meliputi jarak kira-kira 3,645 kilometer dan tempoh penerbangan lima jam 50 minit, sektor Shanghai-Pulau Pinang menawarkan kemudahan serta kebolehcapaian yang lebih baik kepada pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata walaupun kelulusan awal adalah bagi operasi bermusim, kekukuhan permintaan dijangka memperluas perkhidmatan atau memperkenalkan perkhidmatan kekal.
Yeoh berkata perkhidmatan harian itu menyediakan Pulau Pinang dengan penerbangan terus ke antara bandar paling dinamik di China sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama bagi pelancong China.
Beliau berkata China kekal sebagai antara pasaran sumber terpenting Malaysia, dan peningkatan kesalinghubungan dijangka mendorong pertambahan ketara ketibaan pelancong dari Shanghai dan kawasan sekitarnya.
“Peluasan rangkaian penerbangan berkenaan turut mencerminkan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan lebih erat dengan China selain menyokong pertumbuhan sektor penerbangan dan pelancongan negara,” katanya.
-- BERNAMA