KUALA TERENGGANU, 16 Dis (Bernama) -- Orang ramai kini boleh menderma darah dengan lebih selesa dan mudah dengan pembukaan Pusat Derma Darah Statik di pusat beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata pusat derma darah statik yang dibuka dengan kerjasama St. John Ambulans Malaysia itu yang pertama seumpamanya di Pantai Timur dan ketiga di Malaysia.
Beliau berkata ia mula beroperasi sejak 1 Disember lepas dan mampu menerima lapan penderma dalam satu-satu masa.
"Penubuhan pusat ini bertepatan dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjadikan proses menderma darah lebih mudah, mesra dan dekat dengan masyarakat.
"Jika sebelum ini penderma terpaksa berdepan kesukaran mencari parkir dan terikat dengan waktu kerja, kini mereka boleh menderma dalam suasana santai bersama keluarga di pusat beli-belah," katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Darah Statik KTCC, di sini hari ini.
Dr Kasemani berkata sejak dibuka sebanyak 30 penderma direkodkan berkunjung ke pusat darah statik itu yang beroperasi setiap hari bermula 11 pagi hingga 8 malam.
Pembukaan pusat terbabit diharap dapat menampung keperluan bekalan darah terutama di Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang memerlukan antara 60 hingga 70 pek darah sehari bagi menangani pelbagai kes kecemasan dan pembedahan.
"Sebanyak 20,000 orang menjalankan tanggungjawab sebagai penderma darah bermula Januari hingga November lepas di seluruh negeri.
"Kita harap pembukaan Pusat Darah Statik KTCC akan meningkatkan lagi jumlah penderma sekali gus membantu menampung keperluan stok darah negeri," katanya.
- BERNAMA