PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan MADANI yang baharu di Bangunan Perdana Putra di sini.
Pelantikan itu merupakan langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.
Rombakan Kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.
Sebelum ini, Kabinet Kerajaan MADANI menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang kosong susulan peletakan jawatan mereka.
Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kosong selepas beliau tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.
-- BERNAMA
TAG: Anwar, pelantikan baharu, kabinet, menteri