AM

9,425 Peluang Pekerjaan Ditawar Majikan Kepada Prospek Penjara Tahun Ini

16/12/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Sebanyak 9,425 peluang pekerjaan ditawarkan oleh majikan dengan pengisian semasa 6,165 prospek (penghuni) penjara memperoleh pekerjaan pada tahun ini setakat semalam, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata Jabatan Penjara telah menjalinkan kerjasama strategik dengan majikan melalui program Latihan Pintar Korporat (CSI) yang menawarkan pekerjaan kepada Orang Diparol, Orang Bebas Berlesen, Penghuni Bebas Lesen dan Orang Diselia Industri dengan penglibatan 735 majikan daripada pelbagai sektor.

“Program ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara malah menyediakan prospek dengan berkemahiran dan relevan dengan pasaran kerja semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar mengenai tahap keberkesanan pelaksanaan program kerja dan latihan industri bagi prospek penjara melalui kolaborasi antara Jabatan Penjara dan sektor industri serta swasta.

Istilah ‘prospek penjara’ merujuk kepada banduan mengikuti program pemulihan atau pembangunan sahsiah, sebagai satu pendekatan progresif bertujuan mengubah persepsi masyarakat, sekali gus memberi peluang kedua kepada individu yang menjalani hukuman.

Shamsul Anuar berkata sejak 2016, Jabatan Penjara telah melaksanakan satu pendekatan strategik iaitu Program Pemulihan Dalam Komuniti melalui pelbagai inisiatif sokongan termasuk CSI.

Beliau berkata pendekatan itu membuka ruang kepada prospek penjara untuk memperoleh pengalaman kerja sebenar, meningkatkan kemahiran serta mendapat sokongan komuniti dan industri secara berterusan.

“Inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing malah menyumbang kepada pengukuhan dan pertumbuhan ekonomi domestik dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani yang ingin tahu prosedur operasi standard (SOP) polis dalam menentukan lokasi sekatan jalan raya (SJR) memandangkan terdapat aduan awam bahawa sekatan sering dilaksanakan di kawasan kurang strategik seperti selepas plaza tol, beliau berkata kawasan selepas tol adalah tempat yang sesuai.

Beliau berkata ini kerana lokasi itu menepati semua ciri-ciri Garis Panduan SJR melalui Arahan Pengarah JSPT No 26 berkaitan Tatacara Sekatan Jalan Raya Trafik yang menetapkan supaya SJR diadakan di tempat strategik untuk memaksimumkan kejayaan operasi.

“Namun sekiranya berlaku kesesakan, penyuraian SJR akan dilakukan bagi mengelak kesesakan yang teruk,” katanya.

  -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2503273