KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumuman khas berkaitan Kabinet Kerajaan MADANI pada 3.30 petang ini.
Menerusi poster yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau, pengumuman khas itu akan disiarkan secara langsung di stesen televisyen termasuk Bernama TV, serta pada platform media sosial termasuk Facebook rasmi Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri.
Istana Negara turut mengesahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Bukit Tunku pagi tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini menegaskan kerajaan tidak merancang rombakan besar dalam masa terdekat walaupun terdapat beberapa kekosongan portfolio yang perlu diisi.
Kabinet Kerajaan MADANI kini menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang kosong susulan peletakan jawatan mereka.
Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kosong selepas beliau tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.
Kerajaan MADANI akan terus memberikan keutamaan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara.
-- BERNAMA