Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Atlet ekuestrian negara Megan Min Ern Ding mengutip pingat emas dalam acara dressage individu pada Sukan SEA 2025 di Chonburi hari ini.
Menunggang kudanya Gaudi Vita, Megan menyempurnakan ujian gaya bebas dengan elegan dan tersusun, tampil keharmonian, ketepatan serta kawalan untuk memukau para juri di Thai Polo & Equestrian Club di Pattaya.
Kutipan keseluruhan 76.525 mata yang dilakukan ternyata sukar dicabar, sekali gus memaksa atlet Thailand Pawarisa Thongpradup berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 71.135 mata.
Rakan senegara Pawarisa, Nynn Puttisombat melengkapkan kedudukan podium dengan 70.410 mata untuk pingat gangsa.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA