KUCHING, 16 Dis (Bernama) -- Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) mampu memainkan peranan dalam memperkukuh pembangunan kejuruteraan serta memperkasakan penyertaan profesional Bumiputera dalam sektor pembinaan dan infrastruktur di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jurutera perunding tempatan, khususnya daripada Sarawak, memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan secara mampan, berdaya saing dan selari dengan keperluan tempatan.
“Kita memberikan sokongan terutamanya apabila pelbagai aktiviti dan program dapat dilaksanakan dengan pelbagai kemudahan yang ada seperti pusat latihan dan juga yang bakal dibangunkan iaitu pusat kecemerlangan gabungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu dan pusat latihan GJPBS di Petra Jaya, dekat sini hari ini.
Justeru itu, katanya kerajaan sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan konstruktif daripada badan profesional seperti GJPBS bagi memastikan dasar dan pelaksanaan projek memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Sementara itu, Pengerusi GJPBS Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kerajaan dan komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepakaran teknikal dan mematuhi piawaian profesional.
“Antaranya pembangunan pusat kecemerlangan gabungan yang bakal dibina di Samarahan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bukan sahaja untuk kegunaan gabungan tetapi agensi atau persatuan lain,” katanya.
-- BERNAMA