KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian lebih RM131,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Telegram yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata wanita berusia 37 tahun itu tertarik untuk menyertai pelaburan berkenaan selepas melihat iklan di Telegram ketika berada di rumahnya di Batu Caves bulan lepas.
“Dia kemudian berhubung dengan seorang lelaki Untuk melabur dan diminta menjalani satu ujian bagi membolehkannya menjadi pelabur syarikat terbabit.
“Mangsa turut membuka akaun pelaburan melalui pautan diberikan kononnya bagi memudahkan urusan pelaburan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut Noor Ariffin, mangsa kemudiannya memindahkan sejumlah wang ke beberapa akaun bank menggunakan wang hasil pajakan barangan kemas.
“Suspek terus meminta mangsa menambah pelaburan meskipun dia telah kehabisan wang. Apabila bertanya mengenai pulangan pelaburan, suspek memberi pelbagai alasan dan sehingga kini wang mangsa tidak dipulangkan,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang menyedari dirinya ditipu tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang, dekat sini semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis masih menunggu maklum balas permohonan penyata bank daripada pihak CIMB dan Bank Rakyat bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA