SUKAN

Piala Dunia Hoki Remaja: Malaysia Atasi Jepun 3-0 Menerusi Penentuan Penalti

09/12/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Jepun menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar untuk menamatkan saingan di tempat ke-13 pada Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2025 di Tamil Nadu, India hari ini.

Jepun mengikat kedudukan pada minit ke-53 melalui gol padang Shun Hara selepas Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azimuddin Syakir Kamaruddin.

Selepas kedudukan terikat sehingga tamat masa permainan sebenar, aksi diteruskan ke penentuan penalti yang menyaksikan tiga pemain Young Tigers iaitu Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar, Muhammad Addy Jazmi Jamlus dan Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari berjaya menyudahkan percubaan masing-masing manakala Jepun gagal menyempurnakan sebarang cubaan mereka.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2500622