AM

Teo Turun Padang Tinjau Polis, Tentera Manfaatkan Fasa Pertama BUDI95

27/09/2025 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mula dilaksanakan tengah malam tadi, dengan kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan peringkat pertama menikmati subsidi petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berbanding pasaran semasa RM2.05 seliter.

Berkongsi video di laman Facebooknya, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang turun padang tengah malam tadi bagi memantau pelaksanaan inisiatif tersebut, berkata kaedah pelaksanaan subsidi itu sebenarnya mudah dan tidak membebankan pengguna.

“Langkahnya sangat mudah hanya perlu imbas kad pengenalan, masukkan jumlah isian dan buat pembayaran,” katanya sambil menambah pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Touch ‘n Go sebagai alternatif pembayaran.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedar mengenai situasi rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu luar negara dan perkara itu sedang diteliti oleh Kementerian Pengangkutan.

“Saya percaya pada masa yang terdekat, (akan) ada berita yang bagus untuk anda semua (pemegang lesen memandu luar negara),” katanya.

Menerusi video tersebut, Teo turut berkongsi resit yang memaparkan jumlah subsidi diterima, jumlah pembuka liter, dan baki jumlah liter yang masih boleh digunakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai Supt Kamaluddin Othman pula berkata hari ini merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh pasukan polis untuk menerima manfaat inisiatif kerajaan tersebut.

"Aplikasi digunakan pun mudah. Imbas sahaja, bayar dan isi," katanya.

Dalam pada itu, di aplikasi TikTok pemegang akaun arifryshaa12 berkongsikan keterujaannya menjadi antara pengguna terawal memanfaatkan inisiatif tersebut.

Menerusi video yang dimuat naik, beliau turut berkongsi kaedah pengisian yang mudah dan tidak rumit.

Video tersebut telah menerima lebih 17,000 tanda suka selain turut dikongsi sebanyak 5,441 kali setakat ini.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2472074