GAYA HIDUP

Trend Pelancongan Lasak, Mesra Keluarga Tarikan Baharu Warga Kota

27/09/2025 11:47 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 27 Sept  (Bernama) -- Dahulu, aktiviti pelancongan berasaskan pengembaraan atau adventure tourism hanya dikaitkan dengan hutan rimba, gunung-ganang atau kawasan pedalaman. 

Namun kini trend itu berubah menerusi konsep baharu iaitu urban adventure yang menjadikan aktiviti menguji adrenalin ini boleh dinikmati di pinggir dan dalam kota.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Mohd Hafiz Mohd Hanafiah berkata mudah diakses menjadi faktor aktiviti seperti zipline, luge, flying fox dan wall climbing  kian popular dalam gaya hidup dan aktiviti hujung minggu warga kota.

pic-2

Katanya tarikan adventure tourism telah lama ditawarkan, antaranya di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Bukit Fraser dan Taman Negara, namun produk versi urban yang menggabungkan alam dan kemudahan bandar menjadikan ia mesra keluarga dan mudah dicapai.

"Kalau dulu, nak rasa aktiviti lasak macam ini orang sanggup pandu berjam-jam nak sampai ke tempatnya. Dah sampai, enjoy sekejap je, mungkin satu atau dua jam, lepas tu kena patah balik. Seharian tu cuma sempat buat satu aktiviti.

“Tapi sekarang, dengan adanya konsep urban adventure dekat kawasan subbandar macam Rawang, segalanya jadi lebih mudah dan dekat. Lepas cuba zipline pagi, petang boleh singgah di tempat lain...  semuanya dalam jarak yang boleh dicapai dalam sehari,  jadi lebih fleksibel, lebih berbaloi," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata produk pelancongan yang direka lebih santai itu banyak ditawarkan di kawasan pusat beli-belah, taman bandar atau lokasi pinggir bandar yang membuka peluang kepada lebih ramai untuk mencuba aktiviti berkenaan. 

pic-3

"Satu lagi peralihan menarik ialah perubahan cita rasa generasi muda, khususnya millenial dan Gen Z. Jika dahulu pelancong gemar membeli-belah, kini tumpuan lebih kepada pengalaman unik selain pengaruh media sosial,” katanya menambah trend pelancongan juga berubah pascapandemik memandangkan orang ramai dilihat lebih menghargai kehidupan dengan mencuba perkara baharu.

Pakar dalam ekonomi pelancongan itu juga berpendapat sektor pelancongan pengembaraan kini bukan sekadar trend sementara, tetapi merupakan industri bernilai tinggi dengan pasaran global dianggarkan melebihi US$400 bilion dan dijangka meningkat hampir US$1.8 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Mohd Hafiz berpandangan pembangunan produk pelancongan di kawasan strategik seperti pinggir bandar dan taman rekreasi sedia ada boleh menjadi pemangkin ekonomi baharu, menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.

pic-4

Sementara itu, Pengurus Besar Skyline Luge Kuala Lumpur Logan Chandler berkata peningkatan aktiviti lasak seperti zipline mencerminkan perubahan dalam cara masyarakat mendekati pelancongan berasaskan pengembaraan.  

“Zipline selalunya dilihat sebagai sesuatu yang ekstrem. Yang kita lakukan di sini berbeza sedikit, masih mendebarkan tetapi tidak terlalu ekstrem. Ia memberikan keseimbangan antara pengembaraan dan keselamatan, menjadikan aktiviti ini sesuai untuk seisi keluarga ataupun bersama-sama rakan.

“Kami juga dapati pengunjung tidak semestinya seseorang yang dambakan debaran, tetapi orang yang ingin mencuba sesuatu yang unik, berharga untuk dikenang dan selamat,” katanya.

Beliau berkata keselamatan ialah faktor penyumbang utama dalam peningkatan populariti aktiviti lasak itu dan pasukannya cukup terlatih untuk mengendalikan kegiatan tersebut selain peralatan juga telah ditambah baik  bagi memastikan ketahanan. 

“Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, pasukan profesional kami telah dilatih untuk bertindak segera,” katanya, menambah taman yang terletak di Rawang itu menawarkan tiga aktiviti utama, iaitu luge, skyride dan yang terbaharu HyFly zipline.

Sejak dibuka kepada umum pada Disember 2023, taman itu telah menarik lebih dua juta pengunjung.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2472066