EKONOMI

Westin Residence Lancar Menara Kediaman Tertinggi Di Pulau Pinang

24/09/2025 04:58 PM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Sektor hartanah di Pulau Pinang mencatatkan peristiwa penting hari ini dengan pelancaran rasmi Westin Residences Pulau Pinang setinggi 69 tingkat - bangunan kediaman tertinggi di utara Malaysia, yang direka dengan struktur kalis gempa bumi.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail - yang juga Pengerusi Westfield Global Sdn Bhd di galeri jualan projek itu di Persiaran Gurney, di sini hari ini.

Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Yang turut hadir, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik Marriott International Andree Susilo.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan ketika pelancaran itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westin Residences Pulau Pinang Datuk Yeoh Yih Sean berkata projek itu adalah susulan kejayaan kerjasama sebelum ini dengan Marriott International, termasuk Marriott Hotel dan  Marriott Residences, Pulau Pinang. 

Katanya, projek itu telah merekodkan kadar penghunian sebanyak 75 peratus sejak pelancaran awalnya. 

“Sambutan yang menggalakkan ini merupakan bukti jelas kepada permintaan yang semakin meningkat bagi kediaman berjenama yang menyediakan gaya hidup yang berkualiti dan perkhidmatan jenama yang dipercayai,” katanya.

Yeoh berkata pembeli boleh memilih daripada pelbagai jenis unit, daripada 1,033 kaki persegi ke 3,670 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM2,000 setiap kaki persegi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2470909