Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini ketika ancaman berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS) terus menyokong harga logam berharga itu.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sesi dagangan emas meningkat, didorong oleh pemangkin seperti penularan ancaman tarif AS ke atas Kesatuan Eropah (EU) dan kritikan terbaharu terhadap kebebasan Rizab Persekutuan AS (Fed).
“Presiden Donald Trump secara terbuka mengugut untuk menggantikan Pengerusi Fed Jerome Powell yang menyebabkan pasaran mengandaikan kemungkinan bank pusat itu akan lebih patuh dari segi politik iaitu bertindak menurunkan kadar faedah dengan lebih pantas, sekali gus akan menjejaskan kredibiliti dolar AS pada masa-masa seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dasar yang berisiko melemahkan nilai mata wang juga berupaya membantu meningkatkan permintaan sebenar terhadap emas ketika ini, terutama selepas minat terhadap emas melonjak akibat risiko perdagangan.
“Oleh itu, dalam senario ini, emas bukan sekadar lindung nilai, malah turut menjadi pendorong kompromi berkaitan dasar monetari,” katanya.
Kontrak bulan semasa bagi Julai 2025 meningkat kepada US$3,377.70 setiap auns troy daripada US$3,346.20 setiap auns troy pada Jumaat lepas.
Ogos 2025 menokok kepada US$3,394.90 daripada US$3,362.70 pada minggu lepas manakala September 2025 naik kepada US$3,418.0 daripada US$3,377.60 setiap auns troy.
Kontrak bagi Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing meningkat pada US$3,430.40 daripada US$3,397.50 setiap auns troy.
Jumlah dagangan naik kepada 37 lot daripada 28 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka kepada 78 kontrak daripada 72 kontrak, sebelumnya.
Harga emas fizikal pada US$3,352.10 setiap auns troy mengikut penetapan harga oleh London Bullion Market Association pada 11 Julai, 2025.
-- BERNAMA