EKONOMI

Jualan Sektor Pembuatan Malaysia Meningkat 2.4 Peratus Kepada RM158.7 Bilion Pada Mei - DOSM

11/07/2025 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM158.7 bilion pada Mei 2025 berbanding dengan 4.7 peratus pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan terutama oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, mengekalkan pengembangan yang kukuh dengan peningkatan 13.0 peratus pada Mei 2025 berbanding 10.8 peratus pada April.

“Pertumbuhan ini juga disokong oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, yang masing-masing meningkat 5.0 peratus (April 2025: 9.6 peratus) dan 3.7 peratus (April 2025: 4.6 peratus).

“Bagaimanapun, nilai jualan turun sebanyak 1.1 peratus kepada RM158.7 bilion daripada RM160.4 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia, Mei 2025 pada Jumaat.

DOSM menjelaskan pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasi eksport yang mewakili 71.1 peratus daripada jumlah jualan, tumbuh 2.7 peratus pada Mei 2025 (April 2025: 5.1 peratus, didorong terutama oleh peningkatan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 15.9 peratus (April 2025: 12.2 peratus.

Sementara itu, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal terus meningkat sebanyak 4.9 peratus (April 2025: 10.2 peratus), dan pembuatan jentera dan peralatan tidak terkelas di tempat lain meningkat 7.7 peratus (April 2025: 9.5 peratus), tambah jabatan itu.

Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasi eksport melonjak kepada 0.1 peratus (April 2025: -3.3 peratus), menurut DOSM.

Begitu juga, industri berorientasi domestik berkembang sebanyak 1.9 peratus pada Mei 2025, selepas peningkatan 3.6 peratus pada April 2025.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan kukuh pembuatan produk pemprosesan makanan pada 10.5 peratus pada Mei 2025 (April 2025: 10.0 peratus); serta industri pembuatan logam asas (4.3 peratus); dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (3.5 peratus),” jelas DOSM.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasi domestik susut 3.9 peratus.

Mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata sebanyak 2.40 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor pembuatan pada Mei 2025, bertambah 0.9 peratus (April 2025: 1.2 peratus).

“Pertambahan ini dipacu terutama oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (1.8 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.4 peratus); dan peralatan elektrik dan elektronik (1.1 peratus),” tambah jabatan itu.

Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor itu susut  sedikit sebanyak 0.1 peratus.

“Pada masa yang sama, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan 1.6 peratus (April 2025: 2.4 peratus), berjumlah RM8.3 bilion pada Mei 2025. Selain itu, gaji dan upah yang dibayar bertambah baik sebanyak 0.2 peratus berbanding RM8.3 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM66,163 (1.6 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,470, meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun,” menurut DOSM.

Jabatan itu memaklumkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM794.7 bilion, meningkat 3.8 peratus berbanding tempoh yang sama 2024 (3.3 peratus).

Bilangan pekerja meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada 2.40 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.9 peratus kepada RM41.9 bilion dengan nilai jualan setiap pekerja berjumlah RM331,327, meningkat 2.9 peratus, jelas DOSM.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2444098