KUANTAN, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 1,100 tong gas petroleum cecair (LPG) yang dianggarkan bernilai RM171,687 dirampas menerusi Op Gasak di sebuah premis di Jalan Manchis, Bentong semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata operasi membabitkan tujuh anggota penguat kuasa itu hasil risikan yang dijalankan selama sebulan terhadap premis berkenaan yang disyaki menjalankan aktiviti menjual LPG secara borong tanpa lesen sah.
“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, lesen borong LPG milik premis berkenaan telah tamat tempoh sekali gus menimbulkan syak wajar wujudnya pelanggaran undang-undang, “ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal juga mendapati muatan tong LPG sepatutnya dihantar ke premis lain di Mentakab, namun dialih ke premis berbeza daripada alamat yang dinyatakan dalam invois.
Jezlily memaklumkan pihaknya turut merampas tiga lori yang dianggarkan bernilai RM450,200, yang dipercayai digunakan untuk tujuan penghantaran atau penyimpanan selain menyita dokumen berkaitan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA