JENAYAH & MAHKAMAH

KIK PDRM Transformasi Ke Arah Pendigitalan

10/07/2025 08:15 PM

SEREMBAN, 10 Julai (Bernama) -- Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mentransformasikan keupayaan warga polis ke arah pendigitalan dalam meningkatkan kecekapan organisasi sekali gus menyantuni masyarakat menerusi perkhidmatan lebih berkesan. 

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata KIK 2025 bertemakan ‘Digitalisasi Teras Inovasi Kepolisan’ adalah bertepatan dengan fokus digitalisasi dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata tahun ini, 28 projek KIK Horizon Baharu telah dipersembahkan dan 15 daripadanya terpilih berdasarkan kriteria serta tahap potensi ditetapkan. 

“Projek tersebut dapat meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kemudahan akses masyarakat kepada perkhidmatan kepolisan melalui penggunaan teknologi digital.

“Sejajar reformasi perkhidmatan awam, PDRM perlu memperkemaskan proses kerja melalui pendigitalan sistem dan operasi ke arah perkhidmatan tadbir urus yang lebih profesional, efisien dan kompeten serta berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Inovasi 2025 Peringkat PDRM yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof di sini hari ini.

Ayob Khan berkata perkembangan semasa menyaksikan pendekatan teknologi pintar, automasi, data raya serta kecerdasan buatan (AI) mula mendominasi dan kini menjadi teras utama dalam meningkatkan  kecekapan serta keberkesanan operasi kepolisan.

Sementara itu, johan bagi Kategori Penciptaan PDRM dimenangi kumpulan Artificial Intelligent (AI) Briged Sarawak menerusi produk mereka Dr Tracker, yang diketuai Pegawai Pensenjataan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) Insp Rozaimi Ahmad Zaidi.

Rozaimi, 39, berkata produk berkenaan dihasilkan sejak setahun lalu bersama 10 ahli pasukannya dan pada Mac tahun lepas melalui latihan eksesais dengan pasukan PGA Sabah dan Sarawak, fungsi Dr Tracker terbukti berkesan.

“Fungsi alat ini adalah untuk mengesan kedudukan anggota kita yang tiada rangkaian Internet semasa mereka melakukan aktiviti mencari dan menyelamat (SAR), khususnya dalam hutan sekali gus dapat mengurangkan risiko kes anggota hilang.

“Produk ini hanya menggunakan tenaga solar, tidak perlukan pengunaan Internet serta dapat memberi bantuan dengan lebih pantas sekiranya anggota kita memerlukan bantuan kecemasan. Projek ini juga dapat memberi impak besar dalam PDRM khususnya bagi kerja SAR akan datang,” katanya.

Beliau berkata Dr Tracker dapat mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa tindak balas dan keperluan sumber manusia serta berharap ia dapat dimanfaatkan dalam perkhidmatan dengan lebih meluas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443805