AM

Institusi Bawah MARA Dicadang Bangunkan Modul Khas Pak Lah

10/07/2025 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) dicadang supaya membangunkan modul khas “Kepimpinan Pak Lah” sebagai pendekatan strategik memperkukuh agenda Melayu dan bumiputera berteraskan nilai ilmu, akhlak serta integriti yang diperjuangkan oleh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul tersebut boleh diterapkan di institusi MARA seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan GIATMARA bagi melahirkan generasi bumiputera yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga memiliki jati diri dan kepimpinan beretika.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan MARA memperluas program pendidikannya ke wilayah koridor ekonomi yang mampu membuka peluang pembangunan ke seluruh negara dan tidak lagi tertumpu di Lembah Klang.

“Di kawasan koridor ini, boleh wujudkan lebih banyak Pusat Latihan Bergerak MARA yang dapat mendekati komuniti pedalaman, menyediakan latihan teknikal dan digital terus ke akar umbi,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Turut hadir, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman; Naib Canselor Universiti Poly‑Tech Malaysia (UPTM) Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh dan anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah.

Mengenai integriti, Ahmad Zahid mencadangkan supaya MARA memperkenalkan program khas “Usahawan Islam Hadhari” berteraskan konsep keusahawanan moden dengan nilai Islam, serta kajian akademik tentang pemikiran dan gaya kepimpinan Tun Abdullah melalui UPTM sebagai rujukan generasi muda.

Selain itu, beliau berkata kesinambungan kepada gagasan pendekatan Islam Hadhari yang diasaskan Tun Abdullah kini dapat dilihat melalui konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata kedua-dua gagasan itu saling melengkapi dan memperkukuh kerangka pembinaan negara bangsa yang inklusif, progresif dan berdaya tahan.

“Saya juga melihat dengan jelas bagaimana falsafah pembangunan insan dan keterangkuman yang dibawa oleh Pak Lah masih menjadi asas kepada dasar KKDW hari ini dalam memperkasa pendidikan, ekonomi dan infrastruktur luar bandar.

“Fokus KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) bukan sekadar memperkasa komuniti luar bandar tetapi turut meningkatkan kemahiran dan pendidikan masyarakat desa serta menambah baik prasarana adalah sejajar dengan aspirasi Islam Hadhari dan Malaysia MADANI,” katanya.

Simposium yang dianjurkan sebagai penghormatan kepada kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah dihadiri lebih 500 peserta dan menampilkan tiga forum utama membincangkan aspek kepimpinan, dasar, gaya pentadbiran serta imej Malaysia sepanjang tempoh pentadbiran Perdana Menteri Malaysia Kelima itu.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443776