AM

SPRM Tubuh Kaukus Antirasuah Libat Organisasi Masyarakat Sivil

10/07/2025 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan penubuhan Kaukus Antirasuah dengan penyertaan pelbagai Organisasi Masyarakat Sivil (CSO), sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM menjelaskan bahawa penubuhan kaukus itu dilaksanakan di bawah Strategi 3: Suara Rakyat, yang menekankan kepentingan pengupayaan suara rakyat dalam agenda pembanterasan rasuah.

“Penubuhan kaukus ini merupakan tindakan strategik menyokong Substrategi 3.1 NACS, iaitu usaha mewujudkan saluran berstruktur bagi membolehkan CSO berkongsi kepakaran dan pandangan secara aktif melalui laporan serta cadangan tahunan kepada kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif tersebut diterajui oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan sokongan strategik dan teknikal daripada Institut Integriti Malaysia (IIM) selaku agensi rakan pelaksana.

Menurut SPRM, keanggotaan kaukus bersifat inklusif, membabitkan pertubuhan yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan komitmen dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus, merangkumi pelbagai sektor masyarakat bagi membentuk pendekatan kolaboratif dan menyeluruh.

“Setiap ahli bertanggungjawab menyumbang kepakaran masing-masing dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti kaukus.

“Mereka juga berperanan sebagai ejen penyebar maklumat berkaitan isu rasuah, perantara antara organisasi dan masyarakat, pengemuka isu dan cadangan, serta penggerak program di bawah pelaksanaan NACS,” menurut SPRM.

SPRM menyatakan bahawa pelaksanaan kaukus secara tersusun dan kolaboratif diyakini dapat membantu merealisasikan matlamat NACS untuk memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban di semua peringkat masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki telah menyempurnakan penyerahan surat pelantikan ahli Kaukus Antirasuah tersebut dalam satu majlis di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Keanggotaan kaukus bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 1 Julai 2027 merangkumi Anti-Bribery Management Systems Practitioners Malaysia (ABMS), Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), dan Transparency International Malaysia (TI-M).

Turut dilantik ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Business Integrity Alliance (BIA), dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443502