BUSINESS

SC, Durham University Lancar Program Latihan Lonjak Bakat Pasaran Modal Serantau

09/07/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah bekerjasama dengan Durham University of United Kingdom (UK) untuk melancarkan Program Pembangunan Pengawal Selia Muda (YRDP), yang akan diadakan setiap tahun mulai 2025 hingga 2027 di Kuala Lumpur.

Program selama dua minggu itu bertujuan untuk memupuk saluran bakat mahir bagi menyokong pertumbuhan dan kestabilan pasaran modal serantau.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi memberitahu inisiatif ini menekankan komitmen SC dalam memupuk bakat dan memperkukuh kapasiti pengawalselian serantau

"Pembangunan pengawal selia muda penting untuk menangani kerumitan pasaran modal dinamik masa kini. Ia sekaligus menyokong hasrat serantau untuk membangunkan pasaran modal yang lebih berdaya tahan, ditadbir urus dengan baik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.”

"YRDP akan memupuk hubungan yang bermakna di kalangan pengawal selia, membuka jalan bagi kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam pada tahun-tahun akan datang," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Selain itu, SC berkata program tersebut mensasarkan pengawal selia pasaran modal di peringkat awal kerjaya dengan tiga hingga lima tahun pengalaman dari negara ASEAN dan pengawal selia dari Organisasi Antarabangsa Suruhajaya Sekuriti (IOSCO).

"YRDP bertujuan untuk meningkatkan kecekapan profesional muda dengan menyediakan asas yang kukuh dalam peraturan serta pengawasan pasaran modal, pada masa yang sama, mendidik mereka dalam mengikuti trend yang baru muncul dan amalan terbaik global," katanya.

Program ini akan diterajui oleh Profesor Undang-undang Kewangan Durham University, Dr Federico Lupo-Pasini, yang memainkan peranan penting dalam membangunkan kurikulum selain turut menampilkan pensyarah tamu dan pengamal industri terkemuka.

Universiti itu, yang menduduki tempat ketiga di UK dan diiktiraf secara global atas penguasaannya dalam perundangan, kewangan serta ekonomi, akan membawa kecemerlangan akademik dan kepakaran antarabangsa kepada program itu.

"Kohort pertama akan bermula pada Ogos, dengan Malaysia sebagai penganjur serantau, memastikan kebolehcapaian, kecekapan kos serta penyertaan dari seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah dan bidang kuasa lain," katanya lagi.

Dekan Sekolah Undang-Undang Durham, Profesor Volker Roeben berkata bahawa universiti itu komited bagi menyampaikan pendidikan yang transformatif. "Kami menawarkan Biasiswa Pengawal Kewangan ASEAN bagi menyokong pengawal selia ASEAN yang mahu mengikuti sarjana muda sains dalam undang-undang dan kewangan di Durham. Biasiswa ini akan memperkasakan pengawal selia muda untuk memperluaskan pengetahuan, membangunkan analitik dan kemahiran kepimpinan, selain meningkatkan prospek kerjaya mereka dalam sektor kewangan yang giat berkembang," katanya. 

 

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/en/news.php?id=2443352