PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Ahli Panel Pakar (POE) perlu menggembleng usaha dalam memperkukuh dasar negara serta perkhidmatan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata ahli panel pakar memainkan peranan penting sebagai pencetus utama kepada penambahbaikan dan reformasi perkhidmatan awam melalui cadangan idea inovatif.
“Usaha POE turut menyumbang kepada sebahagian daripada kejayaan negara dalam laporan ‘World Competitiveness Ranking (WCR) 2025’, menyaksikan Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia sekali gus menjadikan Malaysia negara yang mencatat kemajuan tertinggi,” katanya dalam kenyataan berhubung Mesyuarat Jawatankuasa Induk POE KPKT yang diadakan di sini semalam.
Sehubungan dengan itu, Nga berkata usaha berterusan diperlukan bagi meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 selaras dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau berkata POE perlu terus tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh, strategik dan berpaksikan data terkini bagi membantu negara menangani cabaran semasa termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perubahan iklim.
Nga turut berkata kerajaan kini dalam peringkat akhir menyediakan beberapa inisiatif berani dan radikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini.
Ia termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 serta pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Mesyuarat POE KPKT yang merangkumi tiga bidang utama, iaitu perumahan, kerajaan tempatan dan perbandaran mampan, dihadiri barisan kepimpinan tertinggi KPKT serta 39 ahli panel pakar yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
-- BERNAMA