AM

Agong Zahir Keyakinan Projek Hospital Pengajar USIM Beri Manfaat Besar Kepada Johor

09/07/2025 04:28 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) Mukim Sedili, Kota Tinggi akan memberi impak yang cukup penting dari segi pembangunan dan infrastruktur.

Seri Paduka Baginda bertitah projek itu juga dilihat mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat. 

“Saya percaya pembangunan ini akan memberi limpahan ekonomi yang baik kepada Johor serta masyarakat setempat di Kota Tinggi,” titah baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. 

Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas dipersembah taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini.

Pembangunan projek itu turut merangkumi pembangunan bangunan akademik, asrama pelajar klinikal, kolej kediaman doktor pelatih, asrama jururawat serta kuarters staf.

Menerusi Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan peruntukan RM938 juta untuk projek berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2443168