KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Suspek dua beranak yang terlibat dalam pembunuhan seorang pemandu e-panggilan yang dikatakan berhutang dengan mereka disyaki melakukan penderaan secara berterusan terhadap mangsa, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail.
Beliau berkata ia susulan kesan kecederaan terhadap badan mangsa selain terdapat kesan cedera akibat kemalangan.
"Siasatan lanjut pihak polis mendapati kesan kecederaan pada tubuh mangsa berpunca daripada kemalangan dan penderaan berterusan oleh kedua-dua suspek, tiada kena-mengena dengan unsur along," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Mohd Azam dilaporkan berkata seorang bapa dan anak lelakinya, masing-masing berusia 73 dan 36 tahun ditahan antara 26 hingga 28 Jun lepas, setelah bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.
Polis menerima maklumat mengenai kematian lelaki berusia 37 tahun terbabit di kediaman kedua-dua suspek di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, Ampang daripada petugas kesihatan sebuah hospital pada 7.16 petang, 22 Jun lepas.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Ampang pada 23 Julai, didapati terdapat unsur jenayah, punca kematian mangsa kerana jangkitan kuman pada otot disebabkan kecederaan pada kulit dan tulang.
Kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu direman 14 hari bermula 27 Jun hingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA