ALOR SETAR, 9 Julai (Bernama) -- Tiang amaran sementara akan dipasang di kawasan Jalan Sungai Korok, Jitra sebagai tindakan awal sebelum membina pagar penghadang dan aspek keselamatan lain yang memerlukan kelulusan peruntukan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Datuk Mohammad Yusof Zakaria perkara itu antara cadangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semalam, saya turun ke lokasi enam sekeluarga ditemukan maut di dalam kereta yang terbabas ke dalam sungai, bagi meneliti cadangan penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya di kawasan terbabit.
“Tiang amaran sementara itu akan dipasang hari ini sebagai langkah memberi peringatan kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata antara cadangan dikemukakan JKR bagi meningkatkan aspek keselamatan jalan raya itu, termasuk pembinaan pagar penghadang, pemasangan lampu jalan, paku jalan pemantul cahaya, tiang penunjuk arah, papan tanda amaran, lampu amaran, dan garisan jalan.
Pembinaan atau pemasangan aspek keselamatan itu dicadang dilakukan di beberapa lokasi berisiko, tertakhluk kepada peruntukan.
Sementara itu, Mohammad Yusof turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra,
Sabtu lepas, pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan, pada awalnya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ahli keluarga di Taman Sri Aman, Jitra pada kira-kira 5.30 pagi.
Misteri kehilangan enam beranak itu akhirnya terjawab apabila kesemua mereka ditemukan maut di dalam kereta di dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, Jitra pada awal pagi Isnin.
-- BERNAMA