EKONOMI

Potensi Sekaran Cip AS Ke Atas Pembuatan Elektronik Malaysia Adalah Terhad - Maybank IB

07/07/2025 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Potensi sekatan penghantaran cip-cip Kecerdasan Buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka hanya memberikan impak yang terhad terhadap sektor perkhidmatan pembuatan elektronik Malaysia (EMS), menurut Maybank Investment Bank (IB) Bhd.

Minggu lepas, media antarabangsa melaporkan AS merancang untuk menyekat penghantaran cip ke Malaysia dan Thailand bagi menghalang penyeludupannya ke China yang dibuat melalui perantara. 

Katanya, pendedahan langsung sektor EMS terhadap produk berkaitan AI adalah minimal.

"Walaupun terdapat kelewatan jangka pendek atau pengalihan pesanan yang berkaitan dengan AI, keadaan tersebut adalah terkawal memandangkan masih ada permintaan daripada pelanggan AS serta sekutu mereka sendiri," katanya melalui satu nota hari ini.

"Pandangan kami ke atas EMS adalah positif khususnya firma-firma yang mempunyai portfolio produk yang pelbagai dan pendedahan pengawalseliaan yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menyatakan perkembangan terkini kemungkinan akan menarik reaksi bercampur-campur di kalangan pelabur, tetapi ia kekal optimis. 

"Berkemungkinan operator hiperskala dan penyedia awan utama akan mempercepatkan pembangunan pusat data mereka dan tempahan untuk AI termaju akan melonjak dalam masa terdekat sebelum Trump membuat keputusannya secara rasmi dan sebelum tempoh tangguh berakhir."  

Trump telah membatalkan rangka kerja peraturan Biden untuk penyebaran AI pada Mei lepas tetapi versi beliau belum dimuktamadkan. 

"Mereka yang mempunyai cita-cita dalam AI pasti akan mengambil langkah segera bagi mendapatkan cip paling maju sebelum rejim pelesenan tersebut bermula. 

"Bulan lepas, seorang kontraktor Malaysia memberitahu bahawa terdapat perubahan dalam usaha mempercepatkan tempoh masa pemberian projek yang mana, pelanggan berpotensi meningkatkan pembentukan kapasiti mereka ke Malaysia berikutan tarif AS itu," katanya lagi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2442240