Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula Selasa, menandakan pencapaian penting dalam usaha menjadi anggota penuh blok serantau yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata peranan aktif Timor-Leste sebagai pemerhati telah membina asas kukuh ke arah penyertaan penuhnya dalam ASEAN.
“Hubungan antara pemimpin ASEAN dan Timor-Leste menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Sejak Timor-Leste diberikan status pemerhati pada 2022, semua negara anggota ASEAN pada dasarnya telah bersetuju untuk menerima penyertaannya sebagai anggota penuh,” katanya kepada Bernama.
Pada Mei, pemimpin ASEAN telah bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada Oktober, tertakluk kepada pematuhan terhadap pelan hala tuju ditetapkan.
Langkah ini menyerlahkan kesepakatan politik ASEAN untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 serta menyokong kesiapsiagaan institusi negara itu.
Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada 2002, telah diberikan status pemerhati ASEAN dua dekad kemudian dan sejak itu, berusaha ke arah keanggotaan penuh berdasarkan Pelan Tindakan Berstruktur yang telah dipersetujui oleh blok serantau.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Mei lepas, Setiausaha Agungnya Dr Kao Kim Hourn berkata Timor-Leste telah terlibat secara aktif dengan menghadiri kira-kira 90 peratus mesyuarat pada suku pertama 2025 berbanding 83 peratus tahun sebelumnya.
Noor Nirwandy berkata anggota ASEAN perlu terus memberi tumpuan kepada penyediaan sokongan teknikal dan institusi bagi memastikan peralihan yang lancar ke arah keanggotaan penuh negara itu.
“Terdapat beberapa elemen teknikal khususnya kekangan teknikal dan politik serta keperluan perundangan tertentu yang perlu dipatuhi oleh Timor-Leste selaras dengan kerangka perkhidmatan perdagangan bebas dan langkah perundangan lain yang ditetapkan.
“Elemen teknikal ini perlu diteliti dengan pendekatan proaktif dan positif bagi membuka laluan kepada Timor-Leste untuk diterima sebagai anggota penuh ke-11 ASEAN,” katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempengerusikan AMM sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas memaklumkan bahawa Timor-Leste telah mencatatkan kemajuan ketara dalam pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN. Beliau berkata negara itu perlu mempergiat usaha untuk memenuhi semua keperluan perundangan yang kebanyakannya tertakluk di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN.
Beliau pada masa sama berharap supaya keanggotaan penuh dapat dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada Oktober tahun ini.
Sementara itu, pakar geostrategi Malaysia Prof Dr Azmi Hassan berkata kepentingan strategik kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, khususnya dalam menghadapi persaingan geopolitik yang semakin meningkat.
Beliau berkata kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) semakin menunjukkan minat terhadap negara kecil itu, dengan China menggunakan pengaruh ekonomi untuk memperkukuh kehadirannya di Timor-Leste.
“Bagi mengelakkan kuasa-kuasa besar daripada menguasai Timor-Leste sebagai sebuah negara merdeka yang tidak bernaung di bawah mana-mana organisasi serantau, adalah lebih wajar untuk ASEAN menarik Timor-Leste menyertai sebagai anggota,” katanya.
Azmi berkata Indonesia, yang menyokong permohonan keanggotaan Timor-Leste bersama Malaysia, turut berpotensi meraih manfaat daripada penyertaan negara itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata fokus utama AMM adalah untuk memastikan semua keputusan berkaitan penyertaan Timor-Leste telah dipersetujui pada Sidang Kemuncak ke-46 dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum Oktober.
“Hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menandakan tarikh rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN,” katanya pada Ahad.
AMM ke-58 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi termasuk lebih 30 Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektorial dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN 2025 selepas menyandang jawatan Pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA