JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Keluar 190 Saman Bernilai RM57,000 Dalam Tempoh Lima Hari Pelaksanaan VEP

06/07/2025 05:24 PM

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 190 saman bernilai RM57,000 dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang tempoh lima hari penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Julai lepas. 

Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 1,767 kenderaan diperiksa dan 94 kenderaan diberi notis amaran. 

“Setakat ini, operasi penguatkuasaan VEP di sempadan darat berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Penguatkuasaan itu menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300. 

Ia adalah selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 4 Jun lepas berkata pelaksanaan sistem VEP penting bukan sahaja untuk kawalan aliran trafik rentas sempadan, tetapi juga bertujuan mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang jalan raya terhadap kenderaan asing.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2441922