JENAYAH & MAHKAMAH

Dhaka Sedia Beri Kerjasama Penuh Dalam Siasatan Kumpulan GMRB

05/07/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan Bangladesh memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia susulan penahanan 36 warganya dalam satu operasi keselamatan kerana disyaki terbabit dalam Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB).

Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur telah segera menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan identiti individu terlibat serta maklumat lanjut berhubung pertuduhan yang dikenakan.

Menurut kenyataan itu, lima daripada mereka telah didakwa di mahkamah Malaysia, manakala selebihnya masih dalam siasatan atau proses pengusiran.

Kementerian berkenaan turut menegaskan pendirian tegas Bangladesh dalam menentang sebarang bentuk keganasan, ekstremisme dan militansi, selain komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Malaysia dalam menangani ancaman tersebut.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata bahawa kegiatan kumpulan GMRB dikesan melalui pemantauan akaun media sosial yang dikendalikan oleh warga Bangladesh menggunakan alamat IP di Malaysia bagi menyebarkan ideologi kumpulan militan Islamic State (IS).

Menurut beliau, hasil operasi bersepadu tiga fasa antara April hingga Jun lalu, seramai 36 ahli GMRB termasuk ketua kumpulan berjaya ditahan, sekali gus melumpuhkan rangkaian mereka yang beroperasi dari Johor.

Daripada jumlah tersebut, lima individu didakwa mengikut Seksyen 6A Kanun Keseksaan, manakala 16 lagi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2441770