Oleh Mohd Adli Shahar
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan 5,121 anggota bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata PDRM telah merangka pelan keselamatan terperinci serta akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan mesyuarat berjalan dengan aman dan teratur.
“PDRM telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan kesiapsiagaan tinggi menjelang mesyuarat ini dan fokus utama tertumpu kepada keselamatan orang kenamaan (VIP), kawalan lalu lintas serta pengendalian situasi kecemasan.
“Pasukan ini akan menggunakan teknologi canggih seperti sistem pengecaman wajah dan pengesanan bahan letupan untuk memastikan acara berjalan lancar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Azmi berkata PDRM menggabungkan kekuatan pelbagai jabatan dan unit termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jabatan Pengurusan, Pasukan Simpanan Persekutuan, Unit Tindakhas (UTK), 69 Komando dan Cawangan Khas.
Beliau berkata selain lokasi utama mesyuarat, kawalan keselamatan turut diperluas ke kawasan penting lain termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.
“Kawalan keselamatan turut akan dilaksanakan di lokasi penginapan delegasi dan zon tertentu di sekitar kawasan ketibaan delegasi yang akan diwartakan sebagai kawasan larangan atau separa larangan dengan akses terhad diberikan kepada individu tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar, beberapa siri latihan serta simulasi keselamatan dijalankan bagi mengukuhkan koordinasi dalaman dan antara agensi kerajaan terlibat.
Latihan dan simulasi keselamatan itu antaranya melibatkan latihan pergerakan konvoi serta pengujian sistem keselamatan seperti mesin pengimbas dan e-gate di lokasi persidangan serta hotel penginapan delegasi.
-- BERNAMA