KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan kelemahan berterusan dolar Amerika Syarikat (AS) akan memberi tekanan ke atas pemulihan sektor teknologi dalam separuh kedua 2025.
Dalam nota penyelidikannnya, firma pembrokeran itu berkata impak berkenaan dijangka minimum bagi pemain perkhidmatan pembuatan.
“Meskipun dalam keadaan ketidaktentuan mata wang, kami menjangkakan pertumbuhan jualan suku ke sektor dalam angka satu digit bagi suku kedua 2025 yang didorong oleh sumbangan kukuh segmen pengujian berautomatik,” katanya.
Selain itu, segmen penyumberan luar pemasangan dan pengujian (OSAT) dijangka mencatat pertumbuhan jualan yang sederhana bagi suku ke suku, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan di China serta pesanan lebih stabil bagi segmen pelayan untuk kegunaan umum.
Ini secara amnya seiring dengan unjuran pertumbuhan purata jualan suku ke suku syarikat-syarikat semikonduktor global pada 3.8 peratus.
CIMB Securities telah mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor teknologi Malaysia dengan pemulihannya masih samar berikutan kekurangan momentum di luar ruang lingkup kecerdasan buatan (AI).
Cabaran jangka masa terdekat itu termasuk kenaikan tarif elektrik, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dan potensi ketidaktentuan permintaan selepas Julai apabila tempoh penangguhan tarif AS selama 90 hari, berakhir.
“Walaupun penilaian masih di bawah tahap sebelum ini, sebarang kemungkinan berlakunya kelemahan permintaan akan memberi impak ke atas prospek pendapatan,” katanya.
-- BERNAMA