GAYA HIDUP

Impian Jadi Nyata, Didi Astillah Dan Noorkhiriah Bersatu Di Pentas Rubiah

29/06/2025 11:28 AM

Oleh Nurhafizah Tan

SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- Tawaran menjayakan teater muzikal Rubiah diibaratkan bagai bulan jatuh ke riba buat dua teraju utamanya Didi Astillah dan Noorkhiriah, yang masing-masing menyimpan impian serta kenangan tersendiri tentang naskhah klasik itu.

Bagi Didi, atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, impiannya untuk beraksi dan mempamerkan bakat di pentas teater akhirnya tercapai menerusi karya itu dan lebih manis beliau menggalas watak Rubiah. 

“Didi dah lama impikan untuk berlakon teater, namun tidak ada rezeki sebelum ini. Alhamdulillah, dapat peluang ini yang sangat berharga buat Didi. 

“Lebih teruja bila dapat tahu ceritanya tentang Rubiah, satu cerita yang sangat menarik. Jadi inilah rezeki daripada Tuhan yang sangat besar untuk Didi, kerana dapat capai impian dan tunjukkan bakat yang Didi ada,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menjayakan teater muzikal tersebut pada Sabtu malam. 

pic-2

Walaupun sudah biasa beraksi di depan kamera dan pentas nyanyian, pelakon drama Leha, Leya, Lawa itu mengakui teater mempunyai cabaran tersendiri yang memerlukan beliau keluar dari zon selesa dan menguji kemampuan dirinya.

“Kalau berlakon drama, kita boleh cut, boleh ulang, tapi teater kena ingat semua dialog dari awal sampai habis. Kena menari, menyanyi dan yang paling mencabar kena bersilat. Didi memang tak pandai bersilat sebelum ini, tapi dalam Rubiah, Didi kena buat semua itu. Jadi memang mencabar sangat,” katanya. 

Adik kepada pelakon Bella Astillah itu juga tidak menjadikan tempoh latihan yang singkat sebagai kekangan, sebaliknya menganggap perkara berkenaan sebagai satu pengalaman yang mendidik dan membuka matanya terhadap keunikan pentas teater.

“Latihan dalam seminggu saja, tapi semua orang beri komitmen penuh. Didi banyak belajar, terutama bila kena bergandingan dengan pelakon-pelakon muda dan juga Kak Khiriah (Noorkhiriah)  yang memang Didi kagumi,” katanya yang akan terus melibatkan diri dalam dunia teater jika diberi kesempatan lagi. 

pic-3

Sementara itu, bagi pelakon versatil Noorkhiriah, teater tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana Rubiah merupakan teater pertama yang dilakonkannya ketika dipentaskan di Istana Budaya pada 1999. 

“Masa mula-mula berlakon dalam Rubiah dulu saya kerja di Istana Budaya, memegang watak sebagai kawan-kawan Rubiah. Tak sangka  hari ini saya pula jadi Mak Alang yang dulunya dimainkan pelakon hebat Datuk Fauziah Nawi yang sangat saya kagumi,” katanya. 

pic-4

Mengakui berdepan tekanan apabila diberi tanggungjawab menggalas peranan yang pernah dibawa pelakon legenda dan figura yang sinonim dengan gelaran “ratu air mata” itu, Noorkhiriah menyahut cabaran tersebut dengan cara tersendiri.

“Saya tak boleh lawan (kehebatan lakonan) ibu (Fauziah Nawi), saya tak boleh. Jadi saya bawa watak Mak Alang ikut cara saya sendiri. Nak beat ibu memang tak boleh… dia terlalu hebat,” katanya.

Menurut pelakon drama Seribu Tahun itu, selain tertarik dengan kekuatan naskhah Rubiah,  peluang bekerja di bawah pengarahan Prof Madya Dr Aminah Abd Rhapor juga menjadi antara sebab utama beliau menerima tawaran berkenaan.

“Memang dari dulu saya teringin sangat nak bekerja dengan Prof Aminah. Saya selalu cakap, sebelum tutup mata, nak sangat-sangat merasa berlakon di bawah arahannya,” kongsi beliau.

pic-5

Pelakon berusia 49 tahun itu berkata meskipun beliau dan Didi sudah beberapa kali bekerjasama dalam projek lain, Rubiah merupakan teater pertama yang menyatukan mereka berdua di pentas.

“Ini teater pertama Didi, tapi kami memang dah biasa shooting sama. Cuma teater ni lain auranya. Tambah pula bila tahu Didi yang pegang watak utama, saya rasa lebih mudah untuk serasi,” katanya yang juga kagum dengan kesungguhan dan bakat Didi meskipun baru pertama kali beraksi di pentas teater. 

Teater muzikal selama tiga hari berakhir hari ini (29 Jun) dipentaskan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada 8.30 malam oleh Persatuan Teater Persona Mentera dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan kerjasama Fakulti Teater, Filem dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MBSA. 

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2439288