PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-51 di Istanbul, Turkiye dari 21 hingga 22 Jun 2025.
Kementerian Luar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis memaklumkan mesyuarat itu akan melibatkan penyertaan menteri luar dan wakil daripada 57 negara anggota OIC.
“Menteri Luar akan menyampaikan Kenyataan Negara yang mengetengahkan pandangan dan pendirian Malaysia dalam isu-isu berkepentingan bersama OIC, seperti situasi di Palestin serta hak rakyatnya untuk menentukan nasib sendiri,” menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Menurut Wisma Putra, Kenyataan Negara itu juga akan menyentuh isu peningkatan Islamofobia dan sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, kerjasama ekonomi serta inisiatif yang telah dilaksanakan Malaysia dalam mencapai matlamat OIC.
Dengan tema “OIC dalam Dunia Transformasi”, mesyuarat itu dijangka membincangkan dan mempersetujui pendekatan bersama dalam menangani cabaran politik, sosioekonomi dan budaya yang dihadapi Ummah, menerusi pengesahan Deklarasi Istanbul dan hampir 146 cadangan resolusi berkaitan, menurut kementerian itu.
Mesyuarat itu juga merupakan platform untuk memperluas kerjasama dan perpaduan dalam kalangan negara anggota OIC dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan untuk Ummah dan masyarakat global secara amnya, khususnya di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau Timur Tengah, tambah Wisma Putra.
-- BERNAMA