AM

Bernama Perkukuh Hubungan Media Global Dengan TV BRICS Dan Rossiya Segodnya Rusia

20/06/2025 12:14 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

ST. PETERSBURG (Rusia), 19 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menandatangani kerjasama strategik dengan dua agensi media utama Rusia, TV BRICS dan Rossiya Segodnya, pada Khamis bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang maklumat dan komunikasi.

Usaha itu bertujuan mempererat hubungan dua hala menerusi pertukaran bahan berita, penerbitan kandungan bersama serta kerjasama editorial yang lebih meluas, sejajar dengan usaha menyediakan perspektif antarabangsa yang lebih menyeluruh kepada khalayak di Malaysia dan di peringkat global.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TV BRICS, kedua-dua pihak akan berkongsi kandungan berita dalam bahasa Inggeris, bekerjasama dalam penerbitan program media serta meneroka inisiatif penyelidikan berkaitan industri media.

Sementara itu, MoU bersama Rossiya Segodnya memberi tumpuan kepada pertukaran artikel berita serta sokongan teknikal dan editorial kepada wartawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menandatangani bagi pihak Bernama. Turut hadir Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Pengerusi TV BRICS Ivan Polyakov dan Timbalan Ketua Pertama kumpulan media Rossiya Segodnya (syarikat induk Sputnik) Sergey Kochetkov, menandatangani perjanjian bagi pihak agensi masing-masing.

Perjanjian itu dimeterai di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) ke-19, yang sedang berlangsung di sini.

Nur-ul berkata menerusi kedua-dua perjanjian tersebut, agensi yang terlibat turut komited mengekalkan standard kewartawanan dengan memastikan atribusi berita yang tepat, mematuhi hak harta intelek dan memupuk persefahaman bersama melalui interaksi media secara profesional.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Bernama untuk membina rangkaian media antarabangsa yang menyokong pelaporan seimbang, memupuk dialog antara budaya serta meluaskan jangkauannya ke rantau BRICS dan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Polyakov menyatakan kegembiraannya atas termeterainya kerjasama bersama Bernama.

“Sebagai agensi berita utama Malaysia, Bernama memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan antarabangsa. Majlis sangat penting bagi kami. Saya percaya kerjasama antara TV BRICS dan Bernama akan menyumbang ke arah menjadikan dunia lebih telus dan aman,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2436056