KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kehadiran Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2025 yang sedang berlangsung diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan pelbagai pihak dari seluruh dunia.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah pemain industri Malaysia yang dibawa ke pesta buku yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China di Beijing itu, bertambah saban tahun dalam tempoh sedekad ini.
“Kita berharap agar dengan peluang yang diberi pada tahun ini, kita boleh menjalin lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dari serata dunia,” katanya seperti dipetik People's Daily Online, hari ini.
Wong yang juga ketua delegasi Malaysia ke pesta buku itu berkata Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bekerjasama dengan syarikat dari China, Global Tone Communication Technology (GTCOM) dalam memajukan pembangunan enjin penterjemahan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bertaraf kebangsaan.
Beliau berkata kerjasama ITBM sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan GTCOM menjadi pendorong bagi peningkatan teknologi AI serta pemangkin utama dalam melindungi warisan kebudayaan dan linguistik di Malaysia sekali gus memberi impak positif kepada komuniti penterjemah dan cendiakawan negara.
“Inisiatif ini sudah pasti akan memudahkan komunikasi berbilang bahasa sekali gus menyokong dasar pendidikan inklusif dan pembangunan asas modal insan berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang bahasa dan terjemahan.
“KPM akan terus menyokong usaha tersebut yang sudah pasti akan memberi sumbangan besar kepada kemajuan teknologi dan pendidikan negara,” katanya.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad dalam ucaptamanya semasa pelancaran Pavilion Malaysia di BIBF berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan bekerjasama dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan pemain industri untuk menerokai peluang baharu khususnya dalam penerbitan digital.
Beliau berkata ia termasuk memanfaatkan platform e-dagang, pendidikan serta runcit tradisional di negara Tembok Besar itu.
Bertemakan ‘Read, Lead’, edisi ke-31 BIBF membuka tirainya pada Rabu dan dijadualkan berlangsung hingga 22 Jun ini dengan penyertaan lebih 1,700 pempamer dari 80 negara.
-- BERNAMA