KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik dengan Timor-Leste dan menyokong aspirasi negara itu untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta di kediaman beliau di Putrajaya hari ini.
“Menerima kunjungan Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta di kediaman saya hari ini lantas mengukuhkan manifestasi hubungan erat antara Malaysia dan Timor-Leste,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau juga berkata Malaysia komited untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menyokong proses integrasi serantau demi kestabilan dan kemakmuran bersama.
Mengakhiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini pada 27 Mei lepas, Perdana Menteri berkata para pemimpin Asia Tenggara bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat yang masih belum dipenuhi bagi keanggotaan penuh.
Beliau berkata kesemua pemimpin telah mencapai kata sepakat menyokong Timor-Leste dalam mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 dan diberikan status pemerhati pada 2022.
-- BERNAMA