Sinonim dengan hidupan liar, terutamanya gajah, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan, disifatkan sebagai antara laluan paling mencabar di Semenanjung Malaysia.
Saban tahun ada sahaja kemalangan maut dilaporkan di laluan ini, namun tragedi yang berlaku awal pagi Isnin 9 Jun lalu merupakan antara terburuk pernah direkodkan di JRTB setakat ini - mengorbankan 15 penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas meraikan Aidiladha bersama-sama dengan keluarga di Jerteh, Terengganu.
Bas persiaran yang disewa khas oleh sekumpulan 42 penuntut UPSI itu terlibat dalam nahas ngeri pada kira-kira 1 pagi berhampiran Tasik Banding, Gerik, hanya beberapa jam selepas mereka meninggalkan perkarangan Masjid Hadhari, Jerteh - lokasi kesemua mereka berkumpul sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampus.
Penulis yang berpangkalan di Biro Bernama Kota Bharu, Kelantan, ditugaskan membuat liputan nahas itu dengan destinasi dituju Hospital Gerik.
KABUS TEBAL
Walaupun bukan kali pertama memandu di JRTB, penulis tetap berasa gementar sebelum memulakan perjalanan dari pekan Jeli, mengenangkan laluan itu baru saja meragut 15 nyawa. Apatah lagi pengalaman lalu mengingatkan penulis betapa mencabarnya JRTB, terutama buat mereka yang hanya sesekali memandu di laluan itu.
Kabus tebal masih menyelimuti jalan ketika penulis memulakan perjalanan ke Gerik pada 6 pagi Isnin 9 Jun lalu, meninggalkan pekan Jeli dan memandu perlahan memasuki JRTB.
Baru beberapa kilometer meninggalkan pekan Jeli, laluan itu sudah mula menunjukkan belang. Di satu selekoh, penulis hampir hilang kawalan kereta yang dipandu disebabkan oleh tampalan jalan tidak rata, dengan bunyi hentakan tayar depan begitu kuat membuatkan hati ini bergetar.
Jalan yang ditempuh bukan sekadar beralun tetapi juga penuh lubang bak kawah-kawah kecil dengan ada antaranya berkedalaman yang mampu menjerat tayar kenderaan. Lebih teruk lagi, selekoh tajam “muncul” bagaikan secara tiba-tiba kerana ketiadaan papan tanda amaran.
Di beberapa lokasi pula laluan terlalu sempit, hanya sipi-sipi berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan, selain gelap kerana ketiadaan lampu jalan.
Pada masa sama, tidak dapat disangkal, JRTB yang merentasi Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang menawarkan pemandangan memukau dengan kehijauan rimba di sepanjang laluan sejauh lebih 120 kilometer (km) itu.
Namun, di sebalik rimbunan pokok yang membarisi kiri dan kanan jalan, ada jurang dalam menanti mereka yang alpa. Belum lagi diambil kira “kejutan” daripada hidupan liar seperti kera dan babi hutan yang adakala menerjah secara tiba-tiba dan berisiko membuatkan kenderaan dipandu terbabas.
TUMPUAN PENUH
Perjalanan masih belum sampai separuh, namun keadaan seluruh tubuh yang berasa tegang gara-gara terlalu memberi fokus pada pemanduan membuatkan penulis berhenti rehat hampir 30 minit di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.
JRTB bukan satu-satunya laluan yang menghubungkan pantai timur, pantai barat dan utara Semenanjung. Pengguna boleh memilih untuk menggunakan laluan Simpang Pulai-Gua Musang, namun jarak perjalanan yang lebih jauh membuatkan majoriti memilih JRTB, baik dari Kelantan ke pantai barat ataupun dari pantai barat ke Kelantan.
“Jalan ini (JRTB) memang agak bahaya, tapi ini sahaja jalan yang saya lalu untuk pulang ke kampung isteri di Machang, Kelantan. Saya juga selalunya bertolak dari Kelantan waktu pagi sebab keadaan cerah, dan kalau ada lubang atau selekoh saya boleh mengelak dengan cepat,” kongsi Ahmad Fauzan Ismail, 35, yang sempat penulis temui di R&R itu.
Menurut pekerja swasta dari Sungai Petani, Kedah itu, dia lebih gemar memilih JRTB kerana tidak perlu memandu dalam satu pusingan yang jauh sekiranya menggunakan laluan Simpang Pulai-Gua Musang.
Pesara kerajaan Wan Mokhtar Wan Ismail, 63, yang juga antara pengguna kerap JRTB pula berkata sekalipun telah biasa dengan laluan itu, dia sendiri tidak dapat menelah “apa yang menunggu di depan” kerana keadaan jalan yang mudah berubah.
"Takut itu memang ada setiap kali saya nak memandu di JRTB sebab kita tidak tahu di depan sana ada jalan rosak atau berlubang, apa yang berlaku… ada gajah liar atau sebaliknya.
"Kalau nak cerita berapa kali tayar kereta masuk lubang sepanjang jalan ini, (sudah) tidak terkira...sebab ada yang kita nampak dari jauh permukaan tidak sekata, ada tampalan dan ada yang kita tidak sempat mengelak sebab berlubang...reda sahajalah," katanya yang mahu ke Baling, Kedah.
SEJARAH JRTB
Mungkin ramai yang tidak tahu sejarah JRTB, namun bersandarkan cerita orang lama di Kelantan dan juga kutipan daripada laman sesawang Wikipedia serta Kementerian Kerja Raya, laluan ini dibina dengan keringat dan darah kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pembinaan bermula 1967 dan siap serta dibuka secara rasmi pada 1 Julai 1982.
Melibatkan jarak sejauh 123 km dengan kos (ketika itu) RM205 juta, pembinaan jalan itu diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama (Almarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan merupakan antara projek lebuh raya terbesar yang dijalankan sepenuhnya oleh JKR.
Sebelum kewujudan jalan ini, perjalanan dari Kota Bharu ke Alor Setar ialah sejauh kira-kira 1,000 km.
Pembinaan JRTB sebenarnya lebih kepada strategi kerajaan mengekang ancaman komunis dengan cara membangunkan kawasan luar bandar. Sepanjang tempoh pembinaannya pula, pihak tentera mengawal di setiap kilometer bagi mengekang serangan komunis selain menghalang mereka daripada menyeberang ke Thailand.
Selain itu, kakitangan JKR dan pasukan keselamatan yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya ini juga sentiasa terdedah kepada serangan ganas komunis. Malah, sejarah negara merekodkan beberapa serangan hendap, termasuk kejadian 27 Ogos 1974 yang mengorbankan tiga kakitangan JKR. Sebelum itu, pada 23 Mei tahun sama, komunis meletupkan 63 buah jentera jabatan tersebut.
Bagi memperingati peristiwa itu, Kementerian Kerja Raya mendirikan tugu peringatan pada 1994 yang dinaik taraf pada 2015. Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan Menteri Kerja Raya ketika itu, merasmikan tugu tersebut yang didirikan di lokasi asal serangan hendap 23 Mei 1974.
Realitinya, sejak dibuka kepada trafik pada 1982, JRTB diletakkan di bawah kawalan Rejimen Askar Wataniah berikutan ancaman komunis yang belum berakhir. Malah, ketika itu, pengguna hanya boleh melalui jalan berkenaan pada siang hari. Kawalan tentera itu hanya ditarik balik selepas ancaman komunis diakhiri menerusi Perjanjian Haadyai pada 2 Dis 1989.
Projek itu kemudian diteruskan ke fasa dua, melibatkan laluan Kulim-Baling dan Titi Karangan-Gerik yang dilaksanakan dalam tempoh 1993 hingga 2005.
Namun, tidak seperti fasa dua, JRTB fasa satu bagaikan laluan yang “dilupakan”, kerana berdasarkan pengamatan penulis, jalan ini tidak disenggara seperti yang sepatutnya.
Perkara itu diakui oleh seorang veteran tentera yang pernah terlibat dalam pembinaan JRTB. Menurut Jamaludin Mohd Amin, 69, dia ditugaskan menjaga keselamatan pekerja yang membina lebuh raya itu pada 1977.
“Jika hendak dibandingkan keadaan jalan ketika itu dengan sekarang, tidak jauh bezanya,” katanya yang ditemui penulis ketika datang meninjau keadaan bas persiaran yang membawa pelajar UPSI terbabit, di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
RISIKO TRAGEDI BERULANG DAN SERUAN KEPADA PIHAK BERKUASA
Tidak ubah seperti sudah terhantuk baru tengadah apabila tular di media sosial garisan putih di atas jalan yang tidak wujud sebelum nahas ngeri 9 Jun itu tiba-tiba “muncul” di lokasi berkenaan.
Pemerhatian penulis sepanjang pemanduan mendapati memang ada lokasi-lokasi yang garisan putih - pemisah antara dua hala bertentangan - sudah pudar, hampir-hampir tidak lagi kelihatan walaupun pada siang hari. Justeru, bayangkan pula keadaan di sebelah malam dengan ketiadaan lampu jalan.
“Yang saya boleh nasihatkan apabila melalui jalan ini hanyalah berhati-hati dan memandu secara perlahan di kawasan yang ada papan tanda amaran hidupan liar dan selekoh,” ujar pemandu lori Rosmadi Ab Manaf, 49, seorang lagi pengguna JRTB.
“Jangan ‘berlagak’ di atas jalan walaupun sudah terbiasa (dengan laluan ini) kerana malang tidak berbau,” tambahnya yang kerap menggunakan JRTB bagi mengambil buah-buahan di Pulau Pinang sebelum dibawa ke Kelantan.
Namun begitu, kata-kata Siti Aminah Awang yang membuatkan penulis terdiam.
“Berapa lama agaknya ya masa yang diambil oleh pasukan penyelamat untuk tiba di lokasi nahas dalam keadaan jalan berliku dan berbahaya ini?” ujar wanita berusia 28 tahun itu.
Selepas hampir tiga jam memandu, penulis selamat tiba di destinasi. Tugas yang menunggu penulis di Hospital Gerik sememangnya memilukan, namun perjalanan merentasi JRTB membuka mata penulis akan betapa perlunya penambahbaikan dilakukan segera di laluan yang berusia hampir 43 tahun itu.