AM

Anwar Harap Pakistan Dan India Capai Penyelesaian Damai

06/06/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian damai serta tuntas demi menjamin kestabilan dan keamanan serantau yang berpanjangan.

Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Anwar berkata hasrat itu disampaikan kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif ketika beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin berkenaan yang sedang menunaikan ibadah haji. 

“Saya mendoakan agar beliau dikurniakan haji mabrur serta mengucapkan Eid Mubarak (Selamat Hari Raya) kepada seluruh rakyat Pakistan,” katanya. 

Pada masa sama, Anwar berharap lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia dapat dijadualkan semula apabila keadaan di Pakistan mengizinkan.

Perdana Menteri berkata Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati dan membawa manfaat bersama.

Anwar juga menghargai ucapan tahniah yang disampaikan oleh Shehbaz atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini.

Anwar turut berhubung dengan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menyelesaikan isu pertikaian sempadan melalui rundingan serta saluran diplomatik.

Beliau menyeru agar kedua-dua negara terus mengamalkan sikap berhemah, mengambil langkah-langkah untuk meredakan ketegangan serta berusaha ke arah penyelesaian secara aman dan menyeluruh.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya yakin semangat kerjasama serantau dan prinsip ASEAN mengenai penyelesaian secara aman dapat menjadi landasan kukuh dalam menangani sebarang pertikaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 28 Mei lepas, tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear di Kemboja yang mengorbankan seorang askar Kemboja.

Kemboja kemudian mengumumkan hasrat membawa pertikaian itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Thailand pula mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2431526