DUNIA

Kuala Lumpur Tuan Rumah CEAPAD IV Pada 11 Julai

05/06/2025 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) Keempat (CEAPAD IV) akan diadakan di Kuala Lumpur pada 11 Julai ini.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta rakan sejawat beliau dari Jepun dan Palestin.

Terdahulu, Malaysia, Jepun dan Palestin telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Peringkat Kerja Kelapan CEAPAD.

Mesyuarat itu yang diadakan buat kali kedua tahun ini memfokuskan kepada keperluan semasa dan masa hadapan bantuan kepada Palestin serta persiapan bagi CEAPAD IV, menurut kementerian itu menerusi laman rasmi Facebook.

Mesyuarat itu turut disertai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Korea Selatan, Bank Dunia, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta Bank Pembangunan Islam.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Jepun memaklumkan para peserta bersetuju untuk bekerjasama ke arah kejayaan mesyuarat menteri yang akan datang.

Sementara itu, wakil Palestin memaklumkan peserta mengenai situasi semasa di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta menggariskan keperluan bantuan masa hadapan.

Mesyuarat secara maya itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Timur Tengah dan Afrika di Kementerian Luar Jepun, Ando Toshihide; Pemangku Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Samah Hamad; dan Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, Kementerian Luar Malaysia, Devrin Jeck.

CEAPAD merupakan platform serantau yang dimulakan oleh Jepun pada 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara Asia Timur.

Dalam sidang media bersama di Putrajaya awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba turut mengulangi komitmen terhadap CEAPAD dan sokongan kepada usaha pembangunan Palestin.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2431238