PASARAN

Ringgit Ditutup Rendah Sedikit Berbanding Dolar AS

04/06/2025 07:44 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS pada Rabu selepas Amerika Syarikat (AS) mencatatkan data ekonomi yang lebih kukuh.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.2435/2490 berbanding dolar AS daripada paras 4.2425/2485 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kekosongan pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan pada April meningkatkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Amerika dan membantu menaikkan dolar.

Kekosongan pekerjaan AS meningkat 191,000 kepada 7.391 juta pada hari terakhir April, mengatasi anggaran 7.10 juta kekosongan.

"(Satu lagi) data akan dikeluarkan di Amerika Syarikat (lewat malam ini). Indeks US Institute for Supply Management (ISM) bagi sektor perkhidmatan dijangka meningkat kepada 52 mata pada Mei daripada 51.6 mata pada April berdasarkan anggaran konsensus.

“Indeks Dolar AS (DXY) terus berlegar di bawah 100 mata. Ketika ini, indeks DXY berada sekitar 99.145 mata, turun 0.08 peratus daripada paras penutup sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, peniaga semakin berminat terhadap aset AS, mengurangkan tekanan jangka pendek ke atas dolar apabila jangkaan terhadap kadar faedah berubah sedikit.

"Sementara itu, belum ada sebarang petanda, melalui presiden Dewan Perniagaan AS, bahawa China mungkin mula melonggarkan sekatan ke atas eksport nadir bumi. Ini memberi harapan kepada pasaran bahawa perbincangan (menerusi panggilan telefon) antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping boleh membawa sedikit kejayaan atau sekurang-kurangnya meredakan sedikit ketegangan perdagangan," katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9444/9486 daripada paras penutup 2.9695/9739 pada Selasa, naik berbanding euro kepada 4.8300/8362 daripada 4.8415/8484, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.7427/7503 daripada 5.7337/7418 sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2906/2951 daripada 3.2967/3016 pada Selasa, naik berbanding baht Thailand kepada 12.9679/9911 daripada 13.0334/0603, menokok berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62 daripada 7.61/7.63 dan susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/260.8 daripada 260.1/260.6.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430807